• Tiada Siapa Yang Tertinggal - PM Najib

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Inklusif, bertanggung jawab dan komprehensif - itu inti pati Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Parlimen, esok.

    Ia berpaksi ke arah usaha meraih pertumbuhan ekonomi mapan yang berterusan, berteraskan kesalinghubungan antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

    Dalam sesi taklimat kepada pengarang di sini hari ini, Najib berkata, tiada sesiapa akan ketinggalan - golongan berpendapatan sederhana (M40), golongan berpendapatan rendah (B40), rakyat di luar bandar dan kakitangan awam.

    "Bajet 2018 adalah kesinambungan daripada dasar transformasi nasional kita dan juga bajet sebelumnya dalam konteks hala tuju negara kita.

    "Bajet kali ini sangat inklusif dalam erti kata semua kumpulan dan kelompok dalam negara sebagai rakyat Malaysia akan diambil kira dari segi kepentingan dan juga atas apa yang kita fikirkan wajar kita lakukan," katanya.

    Najib yang juga Menteri Kewangan, menegaskan Bajet 2018 tidak boleh dianggap sebagai senarai hajat peribadi, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks lebih menyeluruh dari segi pengurusan ekonomi dan kewangan negara yang mantap.

    "Mantap maknanya amat bertanggungjawab, berhemah dan pada masa mengambil kira keperluan rakyat. Ia adalah bajet yang memacu ekonomi dari segi pertumbuhan yang mapan. Ini penting, ia tidak boleh menjadi perkara yang dilaksana semata-mata untuk dilihat sebagai kerajaan populis.

    "Pertumbuhan itu perlu mapan yang berteras ekonomi modal dan ekonomi rakyat, (bukan pertumbuhan sementara) untuk menjadi kerajaan populis. Ekonomi modal dan ekonomi rakyat adalah dua komponen penting yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan," katanya.

    Perdana Menteri berkata, jika negara tidak menikmati pertumbuhan dan tidak diyakini oleh pasaran global, agensi penarafan tidak akan memberi penilaian yang baik, justeru memberi kesan negatif kepada rakyat.

    Pada masa sama, katanya, rakyat berhak menikmati manfaat daripada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi kerana ia pada asasnya adalah untuk mereka.

    "Apa juga yang kita laksanakan perlulah diyakini, bertanggungjawab dan mapan," katanya.

    Untuk bajet kali ini, kata Perdana Menteri, kerajaan akan meningkatkan program bagi manfaat rakyat dalam banyak aspek.

    Sebilangan program, jelasnya, belum pernah dilaksanakan dan akan melihat dalam bidang yang boleh mewujudkan sumber pertumbuhan baharu untuk negara dan kesejahteraan rakyat.

    "Pelaburan dalam infrastruktur menyediakan pemangkin kukuh pertumbuhan ekonomi jangka panjang kita. Itu akan diteruskan.

    "Pertumbuhan pendapatan akan dipantau secara teliti, namun yang turut penting adalah agihan pendapatan lebih saksama," katanya.

    Najib berkata, Bajet 2018 akan mengambil kira segenap segmen termasuk golongan wanita, belia, agenda Bumiputera, Pelan Induk Kaum India serta kepentingan komuniti Cina.

    "Ia bajet yang amat menyeluruh. Insya Allah, kami menjangkakan bajet ini mencerminkan kerajaan yang bertanggungjawab. Kami akan memastikan kepentingan rakyat diutamakan, mewujudkan lebih banyak program berimpak tinggi dan mengukuhkan kecekapan perbelanjaan," katanya.

    Najib dijadual membentangkan Bajet 2018 pada jam 3.30 petang esok di Dewan Rakyat. Sesi pembentangan akan disiar secara langsung menerusi pelbagai saluran media ke seluruh negara.

    Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan terhadap pengukuhan fiskal akan diteruskan kerana inilah yang diperhatikan oleh agensi penarafan bagi mengukur tinjauan ekonomi.

    "Tahun ini kita menjangkakan defisit fiskal kerajaan adalah tiga peratus. Bagi Bajet 2018, kita akan menutup 2018 pada angka yang lebih rendah," katanya.

    Najib berkata, kerajaan konsisten dalam menguruskan ekonomi, mencapai sasaran dan memberikan jaminan dari segi dasar serta hala tuju masa depan.

    "Ini bukan kerajaan yang dasarnya sentiasa berubah. Ini adalah kerajaan yang boleh terus berada dalam landasan sama," katanya.

    Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi keseluruhan kekal baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.7 peratus pada separuh pertama 2017, membayangkan pertumbuhan seluruh tahun ini berkemungkinan melepasi jangkaan.

    "Kebanyakan agensi antarabangsa menganggarkan (pertumbuhan ekonomi) lebih lima peratus. Kami akan memberikan anggaran bagi 2017 pada bajet," katanya.

    Bajet tahun lalu mengunjurkan pertumbuhan KDNK tahun ini pada empat hingga lima peratus dan sebahagian besar penganalisis pasaran menjangka kerajaan akan mengumumkan semakan semula unjuran itu kepada angka lebih tinggi. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Siapa Yang Tertinggal - PM Najib "