• Tiada Kompromi Dengan Pyongyang - Abe

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe memenangi pilihan raya umum negara itu, sekali gus memberikan mandat untuk mengukuhkan pendirian untuk tidak bertolak ansur terhadap Korea Utara.

    Selain itu, kejayaan Abe mengekalkan kedudukannya itu memberi peluang untuk melonjakkan kembali ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

    Gabungan Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Abe kembali berkuasa selepas memenangi sekurang-kurangnya 312 kerusi daripada 465 kerusi Parlimen.

    Kemenangan itu meningkatkan peluang beliau untuk menerajui pentadbiran negara itu bagi tempoh penggal tiga tahun lagi sebagai pemimpin LDP pada September tahun depan dan terus memegang jawatan sebagai perdana menteri sehingga 2021.

    Kemenangan selesa dalam pilihan raya itu nampaknya akan mengukuhkan pendirian Abe terhadap isu nuklear Korea Utara, selaku sekutu kuat Amerika Syarikat yang mahu mengenakan tekanan maksimum kepada rejim Pyongyang selepas negara itu melancarkan dua peluru berpandu melintasi ruang udara Jepun dalam masa sebulan.

    Pada Ahad, jutaan rakyat Jepun menempuh hujan lebat dan angin kencang untuk keluar mengundi yang disebabkan taufan besar yang dijangka melanda negara itu dan amaran dikeluarkan supaya pengundi keluar mengundi lebih awal.

    “Saya sokong pendirian Abe untuk tidak tunduk kepada tekanan Korea Utara,” kata seorang pengundi, Yoshihisa Iemori ketika dia membuang undi di Tokyo yang dilanda hujan lebat.

    Parti pimpinan Abe mendapat manfaat daripada pakatan pembangkang yang lemah dan berpecah, dengan dua parti utama yang menentangnya hanya dibentuk beberapa minggu lalu.

    Sokongan kepada Parti Harapan ditubuhkan Gabenor Tokyo Yuriko Koike juga merudum selepas publisiti luar biasa pada awal pilihan raya dan hanya boleh menang di 50 kerusi, lapor anggaran TBS.

    Kempen pilihan raya pendek 12 hari itu didominasi dengan isu ekonomi dan global berkaitan Korea Utara, yang mengancam “menenggelamkan” Jepun ke dalam laut.

    Abe dengan tegas mengeluarkan pendirian keras, mengatakan yang Jepun “tidak akan tunduk” dalam situasi menekan dan diperlekehkan rejim Pyongyang. - Mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Kompromi Dengan Pyongyang - Abe "