• Tiada Insiden Pergaduhan Di Tambun

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+


    IPOH: Tiada sebarang insiden pergaduhan di Tambun di sini, sehingga menyebabkan seorang lelaki putus tangan sebagaimana video yang tular di laman sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata gambar serta komen netizen yang mendakwa pergaduhan itu berlaku antara kaum Melayu dan Cina tidak benar sama sekali dan sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima tentang kejadian tersebut.

    Mengulas mengenai satu lagi video tular berhubung pergaduhan di Ipoh Garden, Sum berkata pihaknya telah menerima dua laporan polis mengenai kejadian itu.

    "Bagi laporan pertama, seorang wanita membuat laporan Ahad lalu kira-kira 1.30 pagi mengatakan dia dipukul sekumpulan lelaki dan seorang perempuan di hadapan sebuah bank kerana dituduh mengganggu seseorang.

    "Akibat kejadian itu, wanita tersebut mendapat kecederaan di jari, kepala dan kaki," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

    Sum berkata bagi laporan kedua, seorang lagi wanita mendakwa dipukul 10 lelaki dan empat perempuan di hadapan sebuah pusat hiburan di Ipoh Garden kira-kira 2.30 pagi, hari yang sama, kerana dituduh 'mencari pasal' dengan wanita yang membuat laporan pertama.

    "Wanita itu turut mendapat kecederaan di kepala, badan, leher dan kaki. Kita telah menyiasat kedua-dua laporan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

    Dalam pada itu, Sum menegaskan kejadian dalam gambar dan video yang tular di laman sosial itu bukan kes yang sama dan menasihatkan orang ramai agar berhenti membuat perkongsian mengenai kejadian tersebut.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Insiden Pergaduhan Di Tambun "