• Tiada Halangan Guru Aktif Politik

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Setiap guru yang ingin menyertai parti politik harus mengikut peraturan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan termasuk meminta kebenaran bertulis.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihak kementerian tidak menghalang guru yang ingin menyertai politik, namun ia harus mengikut saluran yang betul.

    "Peraturan untuk aktif dalam bidang politik itu ada, yang tinggal sama ada individu itu ikut ataupun tidak.

    "Mereka nak aktif dalam politik itu boleh. Dalam peraturan guru boleh pegang jawatan (dalam politik) sehingga DG48. Pegang jawatan (dalam politik) tak salah.

    "Namun, untuk yang berjawatan tinggi daripada DG48, iaitu DG52 atau DG54 kena minta kebenaran daripada ketua jabatan masing," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) kali ke-25, di sini.

    Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dibuat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melalui ucapan majlis penutup Hari Kemerdekaan di Sekolah Rendah Putrajaya Presint 14 (1) sebelum ini yang menggesa guru untuk menyertai UMNO.

    Kenyataan itu bagaimanapun mendapat kritikan daripada pembangkang.

    Sementara itu, Mahdzir berkata pihaknya akan memuktamadkan cadangan cuti sebanyak 50 hari kepada guru yang menunaikan ibadat haji.

    Beliau berkata, pada dasarnya pihaknya bersetuju dengan cadangan diminta oleh KGMMB itu, namun ia harus dimuktamadkan melalui mesyuarat kelak.

    "Menteri (saya) bersetuju dah, tetapi kita akan muktamadkanlah. Pemberian cuti 50 hari ini untuk guru yang pertama kali menunaikan haji," katanya.

    Sebelum ini, guru yang pergi menunaikan ibadat haji diberi cuti selama 40 hari. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Halangan Guru Aktif Politik "