• ‘The Speedy Jantan’ Sedia Hadapi 3 Cabaran Besar 2018

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+


    MELAKA – Setelah berjaya pulih sepenuhnya daripada kecederaan, raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan kini giat membuat persiapan bagi menghadapi tiga kejohanan besar dalam kalendar sukan pada tahun depan.

    Anak muda kelahiran Kampung Berangan Enam, Umbai, Melaka itu berkata beliau kini menjalani latihan seperti biasa bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim di Johor Baharu.

    Khairul Hafiz, 19, berkata beliau perlu berkerja keras bermula sekarang kerana ini merupakan penampilan sulungnya ke ketiga-tiga kejohanan besar itu iaitu Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2018 di Birmingham, England pada 1 hingga 4 Mac 2018, Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia (4-15 April 2018) dan Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia (18 Ogos-2 Sep).

    “Alhamduillah kecederan pada otot paha kanan yang saya alami ketika beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini telah pulih sepenuhnya dan saya berterima kasih kepada Insitut Sukan Negara (ISN), Majlis sukan Negara dan jurulatih kerana banyak membantu dan memberi semangat kepada saya untuk pulih,” katanya.

    Beliau ditemui Bernama semalam pada Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2017 di Pusat Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Durian Tunggal.

    Khairul Hafiz yang juga pemenang pingat emas acara 100 meter lelaki KL2017 itu berkata beliau berazam untuk melakukan persembahan yang terbaik pada ketiga-tiga kejohanan tersebut.

    “Jika tidak dapat menyumbang pingat, harapan saya adalah sekurang-kuranganya untuk memperbaiki rekod peribadi terbaik iaitu 10.38 saat pada KL2017 dan 10.18 saat pada Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak pada 2016,” katanya.

    Beliau berkata Kejohanan Olahraga Dunia, Sukan Komanwel dan Asia penting baginya kerana ini adalah peluang bagi menunjukkan kepada dunia bahawa atlet dari Malaysia juga boleh menjadi pencabar mereka.

    “Saya percaya bahawa ramai atlet terbaik dunia akan menyertai ketiga-tiga kejohanan itu namun ia tidak melemahkan semangat saya untuk cuba melakukan persembahan yang terbaik buat negara nanti,” katanya.

    Beliau dijadualkan menjalani latihan selama sebulan di Jerman bermula Februari 2018 dan selepas itu akan terus ke Birmingham, England untuk beraksi dalam kejohanan dunia pada Mac.

    Sebagai rekod pada temasya KL2017 Khairul Hafiz menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas acara 100 meter lelaki apabila menewaskan juara bertahan, Eric Cray dari Filipina dengan catatan masa 10.38 saat, selepas kali terakhir dimenangi Nazmizan Muhammad pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.

    Jaguh pecut negara itu juga berjaya mempersembahkan aksi luar biasa apabila berjaya mencatat kepantasan 10.18 saat pada SUKMA Sarawak 2016 dan memecah rekod kebangsaan 10.30 saat milik Watson Nyambek, 18 tahun lalu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " ‘The Speedy Jantan’ Sedia Hadapi 3 Cabaran Besar 2018 "