• 'The Pocketrocketman' Ketuai Cabaran Malaysia

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    Jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang akan mengetuai cabaran Malaysia untuk menghadapi dua siri awal Piala Dunia di Pruszkow, Poland dan Manchester hujung minggu depan.

    The Pocketrocketman akan bersama-sama Fatehah Mustapa mewakili CIMB Pro Cycling Team manakala Shah Firdaus Sahrom dan Farina Shawati Mohd Adnan mewakili Sime Darby Foundation pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 November di Poland disusuli 10 hingga 12 November di Manchester.

    Manakala Mohd Fadhil Zonis disenaraikan untuk menyertai siri Piala Dunia di Manchester dalam acara satu kilometer ujian masa.

    “Azizulhasni, Shah Firdaus dan Farina Shawati akan menyertai keirin dan pecut individu manakala Fatehah hanya menyertai keirin kerana tidak mempunyai mata yang mencukupi untuk turut bersaing dalam pecut individu.

    “Bagi Fadhil dan Farina Shawati, ia adalah penampilan pertama mereka di siri Piala Dunia selepas persembahan cemerlang di Sukan SEA dan Piala Trek Asia. Ia adalah peluang kepada mereka untuk menguji kemampuan di pentas yang lebih tinggi,” kata Pengurus Sukan Berbasikal bagi Program Podium, Mohd Izham Mohamad.

    Menurutnya, fokus utama semua pelumba negara adalah untuk meraih mata sebanyak mungkin bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Belanda pada Mac tahun depan.

    Tiga lagi baki siri Piala Dunia akan berlangsung di Kanada (1 hingga 3 Disember), Chile (9 hingga 10 Disember) dan Belarus (19 hingga 21 Januari 2018).-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'The Pocketrocketman' Ketuai Cabaran Malaysia "