• Thailand batal pasport Yingluck

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    BANGKOK: Thailand membatalkan pasport Perdana Menteri yang disingkirkan, Yingluck Shinawatra yang masih bersembunyi selepas menyusup keluar dari negara itu dua bulan lalu, kata pihak berkuasa hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu yang mana kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa 2014, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun tanpa kehadirannya bulan lalu kerana gagal membendung rasuah dalam dasar subsidi beras.

    Keputusan itu yang menamatkan kerjaya politiknya, diselar penyokong Yingluck sebagai usaha disokong junta menyingkirkan tokoh berkenaan dari dunia politik Thailand.

    "Semua pasport Yingluck sudah dibatalkan. Kami tidak tahu lokasi sebenarnya, hanya laporan mendakwa beliau berada di United Kingdom, namun bandar mana tidak diketahui," kata Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai kepada media di sini.

    Pihak berkuasa berkata, Yingluck memiliki empat pasport Thailand, dua milik peribadi dan dua diplomatik.

    Timbalan Ketua Polis Thailand, Srivara Ransibrahmanakul, berkata, pihak berkuasa masih berusaha mengesan lokasi Yingluck bagi mendapatkan perintah ekstradisi beliau.

    "Namun tiada negara menjawab dan memaklumkan jika mereka mengesan Yingluck," katanya. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Thailand batal pasport Yingluck "