• TERKINI: Identiti seorang mangsa nahas dikenal pasti

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    SUNGAI PETANI: Identiti seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan kereta merempuh van kilang di Kilometer 68, Jalan Alor Setar/Butterworth, Sungai Petani, dekat sini pagi tadi, sudah dikenal pasti.

    Pekerja kilang yang juga penumpang van, Nur Izaty Syafinaz Zamri, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

    Identiti mangsa kedua yang maut iaitu pemandu Perodua Myvi belum dikenal pasti setakat jam 12.30 tengah hari ini.

    Pemandu van yang cedera parah dikenali sebagai Rizal Zul Idzaham Mohd Ridzuan, 30-an.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, van terbabit dari arah Sungai Petani manakala kereta yang membawa seorang penumpang dari Tikam Batu.

    Beliau berkata, selepas van yang dinaiki 14 orang termasuk pemandu itu dalam perjalanan ke sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Prai sebelum dirempuh Myvi dari arah bertentangan.

    "Seorang penumpang van bersama pemandu Myvi maut di tempat kejadian manakala pemandu serta 12 penumpang van dan penumpang kereta menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan, " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Akibat rempuhan kuat, van terbabit dipercayai berpusing beberapa kali hingga menyebabkan semua penumpang tercampak ke atas jalan.

    Berikutan itu, seorang mangsa dipercayai terperosok ke bawah Myvi terbabit manakala pemandu dan penumpang kereta tersepit di tempat duduk.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.01 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

    "Sebaik tiba, kami dapati semua penumpang van tercampak di jalan manakala pemandu van dan kereta tersepit di tempat duduk.

    "Semua yang tersepit segera dikeluarkan manakala mangsa maut dan cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), " katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " TERKINI: Identiti seorang mangsa nahas dikenal pasti "