• Terima Kasih PM

    Published: Saturday, 28 October 2017
    A- A+

    Lebih 100 pengguna berhimpun di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau sebagai tanda terima kasih berhubung pemansuhan tol kedua-dua plaza tol berkenaan dalam Bajet 2018 semalam.

    Mereka melaungkan ucapan ‘Terima Kasih PM (Perdana Menteri)’ selepas Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan kutipan tol di kedua-dua plaza tol, bermula 1 Januari 2018.

    Himpunan itu diketuai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Selangor.

    Noh berkata, pihaknya sudah lama mengusulkan mengenai pemansuhan kutipan tol itu bukan saja di peringkat bahagian tetapi juga kabinet.

    "Sudah lama kita usulkan pemansuhan ini di peringkat UMNO setiap tahun serta dalam kabinet. Kita selalu minta kerajaan timbang semula untuk hapuskan kedua-dua tol ini.

    "Kita juga merayu jika tidak boleh hapuskan kedua-duanya, hapuskan satu dan akhirnya semalam hasrat itu tertunai," katanya.

    Turut hadir Penyelaras Kerajaan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

    Noh berkata, pemansuhan itu bukan saja meringankan beban rakyat malah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan itu terutama pada waktu puncak pagi dan petang.

    Dalam pada itu, Azhari berkata, pada 2014 mereka berhimpun di plaza tol itu untuk meminta kedua-dua tol berkenaan dihapuskan.

    “Sebelum ini, kami berkumpul dengan kesedihan tetapi hari ini sekali lagi kami berkumpul tetapi dengan rasa sangat gembira. Kita sudah berjuang selama empat tahun.

    “Kita bawa memorandum secara konsisten dan terus gigih berjuang dalam memastikan perkara ini jadi kenyataan.

    “Alhamdulillah, semalam, tanpa sebarang indikasi ataupun 'signal', tiba-tiba dalam bajet PM mengumumkan pemansuhan dua tol ini.

    “Kita pernah putus asa namun tetap teruskan mahu tol ini dihapuskan.. Akhirnya jadi kenyataan," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Terima Kasih PM "