• Tergamak Pukul Ibu Angkara Najis Dadah

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    Seorang lelaki layak digelar anak derhaka apabila tergamak memukul kepala ibunya dan mengugut wanita itu dengan pisau selepas tidak diberi wang untuk membeli dadah.

    Ibunya berusia 69 tahun turut cedera di lutut dan lebam di siku kanan akibat pergelutan itu yang berlaku di rumah mereka di Kampung Lubok Pukul Banggu, Kota Bharu, 6.45 petang semalam.

    Susulan tindakan itu, ibunya membuat laporan polis dan lelaki terbabit yang berusia 35 tahun diberkas kira-kira lima jam selepas kejadian.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya menahan suspek di rumahnya ketika dilihat berada dalam keadaan mencurigakan pada 11.35 malam tadi.

    "Sebelum itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Binjai, Kota Bharu apabila suspek memukul dan mengugutnya dengan pisau.

    "Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa tidak memberikan wang diminta suspek yang juga seorang penagih dadah.

    “Berlaku pertengkaran antara mereka dan suspek memukul kepala mangsa sebelum ke dapur untuk mengambil senjata dipercayai pisau.

    "Mangsa yang ketakutan melarikan diri ke rumah kakaknya yang terletak bersebelahan rumah dan mengunci pintu sehingga menantu lelakinya pulang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, menantu dan mangsa ke rumah itu dan berlaku pergaduhan dengan suspek, sebelum suspek melarikan diri sambil memegang pisau.

    Beliau berkata, hasil maklumat, suspek kemudian ditahan di rumahnya dan kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    "Siasatan awal turut mendapati dia mempunyai 14 rekod kesalahan lampau berkaitan kes narkotik dan jenayah," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tergamak Pukul Ibu Angkara Najis Dadah "