• Tercicir Beg Berisi Pil Kuda

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    Polis menemui 550 biji pil kuda bernilai RM5,500 dalam beg sandang suspek yang tercicir ketika lelaki itu melarikan diri dengan motosikal selepas dikejar polis di Kampung Tok Dor, Jertih, 11.30 pagi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Rowi berkata, suspek bagaimanapun dapat meloloskan diri selepas melalui lorong tikus di kawasan ladang kelapa sawit itu.

    "Suspek menggunakan motosikal jenis Yamaha 125Z dan melarikan diri sebaik terserempak sepasukan anggota polis di kawasan itu.

    "Ketika dikejar, beg sandang suspek tercicir dan di dalamnya ada tiga plastik yang diisi 550 biji pil kuda atau juga dikenali pil yaba yang mana dalam plastik pertama terdapat 200 biji, plastik kedua (200) dan ketiga (150).

    "Kita hanya menemui pil kuda sahaja dalam beg sandang itu, tiada barangan lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, hari ini.

    Beliau berkata, motosikal dinaiki suspek tidak mempunyai nombor pendaftaran dan lelaki itu dipercayai masih berada sekitar Besut.

    "Kawasan ladang sawit itu sememangnya menjadi lubuk penagih yang sudah beberapa kali diserbu dan kita percaya suspek dalam perjalanan untuk menghantar pil itu kepada pelanggannya.

    "Bagaimanapun siasatan ke kawasan itu mendapati tiada penagih yang dipercayai sudah menghidu kehadiran anggota polis," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tercicir Beg Berisi Pil Kuda "