• Tentang Usaha 'Rampas Balik' Catalonia

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    MADRID: Catalonia semalam berkata, ia yakin semua pegawainya termasuk polis akan menentang cubaan Madrid untuk melaksanakan pemerintahan sepenuhnya terhadap rantau itu, dalam perbalahan yang semakin meningkat dan mencetuskan kebimbangan pergolakan di negara itu dalam kalangan sekutu Eropahnya.

    Kerajaan Sepanyol menggunakan kuasa khas mengikut Perlembagaan untuk memecat kerajaan rantau itu dan memaksa pilihan raya baru sebagai membalas usaha kemerdekaan yang menggugat ekonomi negara itu.

    Undian di Senat untuk melaksanakan pemerintahan langsung sepenuhnya bakal diadakan Jumaat ini.

    Bagaimanapun, pemimpin kempen pemisah berkata, referendum 1 Oktober lalu yang diharamkan Madrid memberikan mereka mandat untuk menuntut kemerdekaan dari kerajaan pusat.

    Ketua hal ehwal luar Catalonia Raul Romeva memberitahu BBC Radio: “Bukannya kami sengaja mengingkari sebarang arahan. Tetapi itulah kehendak tujuh juta orang.

    “Dan saya yakin semua kakitangan kerajaan di Catalonia akan terus mematuhi arahan dikeluarkan institusi yang dilantik secara sah yang sedia ada di rantau ini.”

    Dia menjawab demikian selepas disoal sama ada percaya semua institusi termasuk polis akan mematuhi arahan pihak berkuasa Catalonia dan bukannya Madrid.

    Pihak berkuasa Catalonia mendakwa 90 peratus pengundi referendum 1 Oktober lalu itu mengkehendaki kemerdekaan. Bagaimanapun, cuma 43 peratus pengundi yang keluar mengundi, manakala kebanyakan yang menentang kemerdekaan tidak berbuat demikian.

    Krisis Catalonia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Eropah yang melihat kemungkinan ia menjejaskan keseluruhan benua berkenaan.

    Sementara itu, Parlimen Catalonia akan bersidang Khamis ini untuk membincangkan tindak balas sewajarnya terhadap Madrid.

    Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri Sepanyol Soraya Saenz de Santamaria berkata, pemimpin Catalonia Carles Puigdemont akan hilang semua kuasa dan gajinya sebaik Artikel 155 Perlembagaan - yang memberi kuasa pemerintahan penuh kerajaan pusat di rantau itu - dikuatkuasakan.

    “Presiden kerajaan wilayah dan pegawai kanannya cuma berada di situ disebabkan peruntukan Perlembagaan membenarkannya,” katanya.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Tentang Usaha 'Rampas Balik' Catalonia "