• Tempoh sah pemeriksaan kenderaan dilanjutkan kepada enam bulan

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Tempoh sah laku pemeriksaan kenderaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan dilanjutkan daripada 30 hari kepada enam bulan tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Beliau berkata perkara itu bertujuan memudahkan segala proses dalam urusan pembelian dan penukaran hak milik kenderaan terpakai.

    Katanya, secara prinsip, kementerian telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh itu setelah menerima cadangan Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM).

    "Saya akan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan untuk meneliti dan meluluskan segera perkara ini untuk dikuatkuasakan," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara FMCCAM, Persatuan Pedagang Kenderaan Singapura (SVTA) dan Persatuan Kereta Terpakai Thailand (AUCT).

    Liow berkata kementeriannya juga akan meneliti perjanjian antara kerajaan dan Puspakom dari aspek undang-undang dan implikasinya dalam melaksanakan perkara berkenaan.

    Katanya, perkara itu tidak perlu dirujuk kepada kabinet kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

    "Selepas proses penelitian selesai dan tiada pertindihan peraturan, saya akan arahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan untuk meluluskan segera perkara itu," katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Tempoh sah pemeriksaan kenderaan dilanjutkan kepada enam bulan "