• Tempoh Berkabung Di Thailand Tamat

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    BANGKOK: Thailand secara rasmi menamatkan tempoh berkabung untuk mendiang Raja Bhumibol Adulyadej semalam sekali gus mengembalikan ‘warna-warni’ di negara itu.

    Ratusan ribu penduduk hadir ke upacara pembakaran mayat Bhumibol yang meninggal dunia pada Oktober tahun lalu.

    Upacara yang penuh dengan adat istiadat diraja berlangsung selama lima hari dan berakhir kelmarin.

    Sejak Bhumibol meninggal dunia, kerajaan mengisytiharkan perintah berkabung selama setahun di mana penduduk diminta memakai baju berwarna hitam dan putih.

    Stesen televisyen di negara itu juga bersiaran dengan warna hitam putih dan semua pusat hiburan diminta mengurangkan aktiviti hiburan.

    Kain rentang upacara pembakaran mayat berwarna hitam putih yang digantung di pintu pagar Rumah Kerajaan di Bangkok sejak setahun lalu turut diturunkan semalam.

    Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha membuat pengumuman di televisyen bagi menandakan tamatnya perintah berkabung.

    “Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pegawai, tentera dan orang awam serta lebih 10 juta rakyat yang memberi penghormatan kepada badan diraja sejak setahun lalu,” katanya.

    Sementara itu, seorang pekerja swasta, May Kanokwattana, 29, memakai baju berwarna kuning terang ketika berjalan di Siam BTS, stesen pertukaran pengangkutan utama di Bangkok.

    “Saya memakai baju hitam selama setahun kerana perlu menunjukkan rasa sedih saya. Hari ini (semalam) adalah hari pertama saya memakai pakaian berwarna terang,” katanya.

    Dia juga memakai pin dengan simbol untuk memperingati Bhumibol.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Tempoh Berkabung Di Thailand Tamat "