• Tembak dari tingkat 32 Hotel Mandalay Bay

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    NEVADA: Insiden serangan bersenjata di Las Vegas yang mengorbankan lebih 50 orang dan 400 lagi cedera dianggap pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat.

    Kejadian mengejutkan itu berlaku ketika kira-kira 22,000 orang ramai hadir menyaksikan festival muzik country dan menurut polis lelaki yang melancarkan tembak itu ditemui sudah mati di sebuah bilik hotel bersama 10 senjata api.

    Sheriff Clark County, Joseph Lombardo memberitahu wartawan, polis percaya suspek adalah seorang lelaki tempatan, Stephen Paddock berusia 64 tahun yang bertindak secara sendirian dan ia tiada kaitan dengan unsur keganasan.

    "Kami tidak tahu apakah ideologi suspek. Buat masa ini, kami percaya dia bertindak sendirian dan kemungkinan angka korban akan meningkat."

    Polis turut menegaskan khabar angin berlakunya insiden tembakan dan letupan lain di kawasan itu adalah tidak benar.

    Lombardo berkata, tembakan datang dari arah tingkat 32, Hotel Mandalay Bay, lokasi penyerang ditemui mati.

    Setakat ini polis belum mendedahkan sebarang maklumat berhubung motif sebenar serangan itu.

    Sementara itu, militan Daesh mendakwa bertanggungjawab ke atas insiden tembakan rambang itu.

    Kumpulan berkenaan turut mengatakan bahawa penyerang itu baharu saja memeluk Islam beberapa bulan lalu.

    "Serangan di Las Vegas dilakukan oleh seorang askar Daesh dan dia melaksanakannya sebagai memenuhi seruan untuk menyasarkan negara gabungan," kata agensi berita kumpulan itu, Amaq merujuk kepada gabungan diketuai Amerika Syarikat yang melancarkan serangan ke atas kumpulan itu di Asia Barat.

    "Penyerang Las Vegas itu memeluk Islam beberapa bulan lalu," tambah Amaq. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Tembak dari tingkat 32 Hotel Mandalay Bay "