• 4000 Belia Dijangka Sertai Forum Belia Tegas

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Tabung Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) menyasarkan seramai 4000 belia yang berusia 18 hingga 35 tahun menyertai Forum Belia Tegas (FBT) 2017 yang akan berlangsung pada 14 Oktober bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

    Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata,  FBT yang berlangsung pada Sabtu depan bertujuan bagi mendedahkan kepada para belia secara lebih terperinci berhubung ekonomi digital yang masih belum diketahui sepenuhnya oleh para belia terutama belia dari kawasan luar bandar.

    Beliau berkata ianya seiringan dengan usaha mentransformasi negeri kearah ekonomi digital seperti diwar-warkan oleh Ketua Menteri Sarawak,Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Menurutnya, fokus utama FBT kali ini mengetengahkan topik mengenai “ Transformasi Sarawak ke Arah Ekonomi Digital” yang akan disampaikan Pegawai Tadbir Diplomatik Putrajaya Syed Nizamuddin Sayed Khassim.

    “Pelbagai program yang disusun atur sepanjang FBT berlangsung antaranya Program SPARK yang akan menampilkan empat penceramah dari Pusat Global Inovasi dan Kreativiti (MaGIC) iaitu Jonathan Lee, Alina Amir, Saran Tagal dan Micheal Teoh.

    “Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang hari yang bermula pada jam 7.30 pagi hingga 5 petang itu dan majlis akan dirasmikan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.” katanya pada sidang media FBT 2017 di BCCK hari ini.

    Sehubungan itu, Snowdan menyeru para belia agar hadir dan mendaftarkan diri bagi memeriahkan FBT pada 14 Oktober kelak.

    Belia-belia juga boleh mendaftar dan melihat sendiri aktiviti yang dirancang sepanjang FBT secara online di laman web www.fbt17.evenbrite.com.

    Beliau turut memberitahu, kepada belia yang tidak mempunyai pengangkutan juga boleh menghubungi Grabcar dengan kod promosi GRABTEGAS yang menyediakan diskaun terhebat khusus pada tarikh tersebut.- Sarawakiana


  • No Comment to " 4000 Belia Dijangka Sertai Forum Belia Tegas "