• Taufan Khanun Dijangka Badai Selatan China Esok

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    BEIJING/HONG KONG: Taufan Khanun berkemungkinan membadai selatan China awal pagi esok dengan angin berkelajuan 114 kilometer sejam, kata agensi meteorologi negara itu.

    Ia ketika pihak berkuasa di Hong Kong menurunkan amaran cuaca dan keadaan lalu lintas kembali normal di hab kewangan berkenaan.

    Agensi Xinhua memetik Pusat Meteorologi Kebangsaan sebagai berkata, Khanun dijangka mendarat antara Zhanjiang di wilayah Guangdong dan Wechang di wilayah Hainan.

    Agensi itu mengeluarkan amaran jingga, kedua tertinggi dalam sistem amaran berwarna empat peringkat China untuk cuaca buruk.

    Xinhua berkata, bermula hari ini sehingga esok, sebahagian wilayah Zhejiang, Guangdong, Guangxi dan Hainan akan mendapat hujan lebat, manakala di sesetengah kawasan, hujan dijangka turun sehingga 200 milimeter.

    Di Hong Kong, pemantau cuaca merendahkan amaran bandar itu ke paras kedua rendah dan perkhidmatan feri pulau berhampiran dipulihkan dengan perjalanan ke Macau dijangka beroperasi 9 malam, menurut jabatan pengangkutan dan syarikat feri.

    Kebanyakan penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong berlepas mengikut jadual atau berlaku sedikit kelewatan untuk hari ini, menurut sistem maklumat penerbangan.

    Khanun menyerang dua bulan selepas Taufan Hato, ribut kategori 10, mencetuskan huru hara di Hong Kong dan kematian di Macau, menyebabkan banjir besar serta gangguan pengangkutan.

    Xinhua berkata, di Hainan, perkhidmatan kereta api laju digantung bermula awal hari ini sementara feri di Selat Qiongzhou yang menghubungkan wilayah pulau dengan Guangdong di tanah besar, digantung semalam. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Taufan Khanun Dijangka Badai Selatan China Esok "