• Tapir Mati, Kaedah Menyelamat Kurang Sesuai

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seekor tapir mati dalam kejadian di Taman Desa Saujana, Batu 14 Hulu Langat, kira-kira 1.30 pagi semalam, telah mencetuskan kontroversi kerana dipercayai akibat penggunaan kaedah pengendalian penyelamatan kurang sesuai.

    Kejadian yang kini tular di laman sosial itu turut mendapat perhatian koresponden Channel News Asia (CNA) di Malaysia, Sumisha Naidu yang mengesyaki tapir itu mati berpunca “daripada tangan manusia”.

    Menerusi Twitter, Sumisha memuat naik beberapa keping gambar serta video berdurasi 9 saat yang menunjukkan ketika tapir itu masih hidup dalam kejadian yang dirakamkan pada antara jam 11.40 malam, Rabu. hingga 1.30 pagi, Khamis itu.

    Difahamkan, tapir itu terlepas daripada habitatnya dan merayau-rayau di sekitar perkampungan itu sebelum orang ramai meminta bantuan pasukan bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan terancam tersebut.

    Bagaimanapun, lain pula yang terjadi apabila bukan tapir itu diselamatkan, tetapi ditangkap seolah-olah haiwan itu mengancam keselamatan manusia.

    Metod penangkapan haiwan itu dilihat tidak berperikemanusiaan kerana leher dan keempat-empat kakinya dijerut menggunakan tali sekaligus menyukarkan pergerakannya.

    Haiwan malang itu kemudiannya ditemui telah mati dan bangkainya ditinggalkan di tepi jalan kawasan perumahan tersebut.

    Apabila diasak dengan pertanyaan bagaimana keadaan itu boleh berlaku, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tapir berkenaan dipercayai mengalami keletihan dan tertekan apabila dijerut di bahagian leher ketika diselamatkan seterusnya menyebabkan haiwan itu mati.

    Persoalannya, mengapa bangkai tapir yang ditemui sekitar jam 10.30 pagi tadi (Khamis) terdapat kesan kelaran seakan-akan dimutilasi di kulit, telinga, kaki kanan hadapan dan belalainya?

    Sepatutnya, perkara ini tidak berlaku jika orang ramai daripada awal lagi meminta bantuan daripada pihak Perhilitan yang sudah tentu lebih arif dalam menangani hal seperti ini.

    Kata Abdul Kadir lagi, orang awam juga tidak sepatutnya mengambil tindakan sewenang-wenangnya menyelamatkan haiwan seperti tapir yang tersenarai sebagai spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716, sebaliknya mereka perlu menghubungi PERHILITAN.

    “€Kematian tapir ini akan memberi kesan kepada populasi hidupan liar dihabitatnya dan atas faktor itu, kita memandang serius kes ini.

    “Bagaimanapun, punca kematian akan ditentukan melalui bedah siasat yang akan dijalankan,” katanya kepada Harian Metro.

    Menurut Abdul Kadir, pihaknya sudah memulakan siasatan terhadap kes itu.

    Katanya, individu mengambil bahagian hidupan itu boleh disabitkan di bawah Seksyen 68 dan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Tapir Mati, Kaedah Menyelamat Kurang Sesuai "