• Tambah Dana Pengangkutan Awam

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengalu-alukan kerajaan menambah dana kepada sektor pengangkutan awam darat, khasnya untuk perkhidmatan bas henti-henti dalam dan luar bandar menerusi Bajet 2018.

    Ketua Pengarah Eksekutifnya, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata suntikan dana itu bermatlamat membantu syarikat bas umtuk berdaya saing memberikan perkhidmatan kepada orang ramai, selari dengan aspirasi kerajaan menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan awam.

    "Sokongan kerajaan dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam darat, khususnya perkhidmatan bas dan teksi amat penting pada masa depan.

    "Kita berharap kerajaan akan terus menyuntik lebih banyak dana dalam Bajet 2018 bagi meningkatkan tahap pengangkutan awam kita terutama untuk membantu syarikat bas henti-henti menyediakan perkhidmatan di luar bandar.

    "Walaupun ada laluan yang tidak menguntungkan, tetapi ia tetap penting kepada orang ramai terutama yang bergantung penuh kepada sistem pengangkutan awam," katanya.

    Beliau berkata kepada media pada Simposium SPAD: Pengangkutan Masa Depan, Melestarikan Mobiliti.

    Yang turut hadir, Pemangku Pengerusi SPAD, Tan Sri Mohd Isa Samad.

    Mohd Azharuddin berkata, kerajaan memperuntuk dana sebanyak RM700 juta sejak 2012 hingga tahun ini untuk membantu syarikat perkhidmatan bas henti-henti beroperasi di bandar dan luar bandar.

    "Kita amat berharap kerajaan akan terus menambah dana dalam Bajet 2018 bagi meningkatkan mutu perkhidmatan awam darat negara untuk keselesaan orang ramai," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tambah Dana Pengangkutan Awam "