• Taman Negara Mulu Perlukan Jalan Raya Untuk Mudahkan Akses

    Published: Wednesday, 18 October 2017
    A- A+

    MIRI: Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan cadangan pembinaan jalan raya yang baik bagi memudahkan akses ke Taman Negara Mulu melalui bandar raya ini.

    Usaha membina jalan ke taman negara tersebut merupakan jangka panjang yang amat penting untuk pelancongan dan penduduk setempat kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting.

    “Ini kerana, jalan tersebut amat penting bukan sahaja memudahkan akses pelancong ke Taman Negara Mulu, malah memenuhi keperluan penduduk Miri, Limbang, Lawas, Bintulu serta negara Brunei dengan jumlah populasi 1.18 juta orang,” katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, malah katanya lagi, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, beliau memberitahu satu-satunya akses pelancong ke Mulu adalah melalui jalan udara, menuju ke lapangan terbang kecil terletak bersebelahan taman Negara tersebut.

    Bagaimanapun, menurut Sebastian lagi, penerbangan boleh dibatalkan ataupun terlewat dan ada kalanya tempoh panjang akibat keadaan cuaca buruk menjadikan tidak selamat untuk penerbangan dan pesawat kecil.

    “Tidak ada pelancong ingin menggembara ke seluruh dunia diberitahu bahawa mereka tidak boleh ke Taman Negara Mulu kerana cuaca buruk, sekali gus membawa kepada ketidakadilan kepada pelancong dan mewujudkan publisiti yang buruk,” ujarnya.

    Beliau memberitahu cadangan pembinaan jalan raya tersebut membantu membuka akses atau alternatif lain ke Taman Negara Mulu sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat dari aspek pembangunan ekonomi.

    “Pada masa sama, jalan raya itu nanti boleh ditamatkan di jeti atau pangkalan tebing sungai berhampiran dengan kampung dan berada di luar sempadan taman negara,” jelasnya.

    Sebastian menjelaskan jeti persinggahan dicadang untuk dibina di seberang sungai (bertentangan taman negara) harus dikendalikan kakitangan taman negara kerana mereka boleh mengurus kemasukan pelancong ke dalam Taman Negara Mulu pada satu-satu masa.

    “Kita harus tahu kemasukan pelancong terlalu ramai dan tidak terkawal adalah tidak baik untuk taman negara semula jadi itu. malah kerajaan harus mematuhi standard yang ditetapkan oleh badan dunia untuk mengawal pengunjung pada waktu-waktu tertentu.

    “Justeru, kawalan dan tugas menguruskan bilangan pengunjung memasuki taman dapat dilakukan dengan mudah dan teratur di jeti utama dan harus mempunyai kemudahan seperti tempat letak kereta, kafe, tandas dan kedai kraf tangan dan produk tempatan agar pelancong menunggu tidak berasa bosan,” kata Sebastian lagi.

    Terdahulu, Sebastian tampil menyuarakan semula cadangan itu ekoran kenyataan dibuat Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) pada sidang media di Kuching, kelmarin yang mendedahkan industri pelancongan di Taman Negara Mulu dijangka mengalami kerugian RM5 juta tahun depan berikutan langkah mengurangkan kekerapan penerbangan ke Mulu. - Sarawakiana

  • No Comment to " Taman Negara Mulu Perlukan Jalan Raya Untuk Mudahkan Akses "