• Tak Minat Sains Dan Matematik Kerana Rasa 'Terbeban'

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    TUARAN: 'Terbeban' dikenal pasti antara faktor utama menyumbang kepada kurangnya penerimaan pelajar terhadap bidang sains dan matematik di sekolah.

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Madius Tangau, berkata sehingga kini sasaran sebanyak 60 peratus pembabitan pelajar sekolah menceburi bidang sains dan matematik di seluruh negara masih belum tercapai sejak ia mula disasarkan pada tahun 1967.

    Beliau berkata, Laporan Sains Tahun 2015 merekodkan simptom kurang minat dalam kalangan pelajar menjadi antara pendorong utama kepada kekurangan daya tarikan terhadap dua mata pelajaran terbabit.

    "Pelajar merasakan susah atau terbeban mempelajari subjek berkenaan selain ibu bapa tidak nampak akan potensi bidang sains terhadap pembangunan negara pada masa depan.

    "Untuk mengatasi perkara itu, pihak MOSTI telah melancarkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) serta beberapa program lain berkaitan," katanya selepas merasmikan program Pembudayaan STEM di Sekolah Menengah Sri Nangka, dekat sini, hari ini.

    Seramai 30 pelajar SMK Sri Nangka, SMK Tamparuli dan SMK Tun Fuad Stephens menyertai program anjuran syarikat pembekal teknologi tempatan, Sogud Sdn Bhd.Mengulas lanjut, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, pihaknya bercadang membina Pusat STEM kebangsaan pada tahun hadapan bagi melatih guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik, antara lain bagi menangani isu berkenaan.

    "Tanpa kedua-dua subjek itu, adalah mustahil negara kita mampu melahirkan graduan berkelulusan tinggi dalam bidang kejuruteraan, perubatan serta bioteknologi.

    "Dengan adanya graduan yang berjaya dalam bidang sains, mereka pastinya mampu menghasilkan teknologi tinggi seterusnya memacu pembangunan Malaysia ke arah negara maju," katanya.

    Beliau berkata, peranan ibu bapa juga penting dalam menerapkan minat anak mereka dalam bidang sains memandangkan sektor pekerjaan dalam industri itu menawarkan peluang pendapatan yang tinggi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tak Minat Sains Dan Matematik Kerana Rasa 'Terbeban' "