• Syarikat Perlu Diberi Kelonggaran Laksana Perdagangan Patuh Syariah

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat perlu diberikan kelonggaran untuk berdagang di bawah segmen patuh syariah selagi pendasar dan perniagaan asas mereka mematuhi peraturan Syariah dalam usaha meningkatkan pembiayaan perdagangan dalam kalangan bank-bank Islam yang mana masih lagi rendah ketika ini.

    Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata syarikat-syarikat ini perlu dinilai berdasarkan kepada ciri-ciri perniagaan mereka sama ada mereka mematuhi sepenuhnya peraturan Syariah bagi meningkatkan bilangan syarikat patuh Syariah.

    "Dalam usaha kita untuk mempertingkatkan lagi perkembangan pasaran modal Islan, kita perlu fokus kepada substance (asas), dan bukan semata-mata kepada bentuk (syarikat).

    "Jika kita lihat banyak syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang sebenarnya menjalankan perniagaan yang patuh Syariah. Cuma mereka mungkin tidak mematuhi beberapa peratusan dari segi pinjaman, pendapatan dan sebagainya," katanya kepada Bernama di luar acara Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Ke-14 2017, di sini, hari ini.

    Untuk maju ke hadapan, katanya, kewangan Islam perlu ada sekuriti patuh Syariah yang besar dalam pasaran.

    "Jika kita boleh berpegang kepada asas, saya rasa lebih banyak instrumen (patuh Syariah) boleh disediakan dalam pasaran, kata Abdul Wahid yang adalah penceramah bagi sesi pertama forum itu yang bertajuk 'Islamic Finance Smart Talk' (Perbincangan Pintar Kewangan Islam).

    Menurutnya, di Bursa Malaysia, 75 peratus daripada syarikat tersenarai adalah patuh Syariah, manakala dari segi permodalan pasaran, 60 peratus daripadanya patuh kepada peraturan Syariah, justeru sebahagian besar pendapatan bursa adalah patuh Syariah.

    "Baru-baru ini, mereka (Bursa Malaysia) telah memperkenalkan i-platform, paltform patuh Syariah untuk saham-saham yang patuh Syariah jadi ada proses pematuhan Syariah menyeluruh bagi syarikat-syarikat itu.

    "Kami (PNB) ingin mencadangkan supaya i-platform ini digunakan bukan sahaja untuk syarikat yang patuh Syariah, tetapi untuk kesemua syarikat yang tersenarai di sana.

    "Dari segi asasnya, sebahagian besar pendapatan Bursa Malaysia sudah patuh Syariah jadi mengapa tidak satu pendekatan dilakukan untuk mengklasifikasikan Bursa Malaysia sebagai sebuah syarikat patuh Syariah," katanya.

    Forum dua hari itu yang bertemakan "Real Finance for Real Economy" (Kewangan Sebenar bagi Ekonomi Sebenar) yang bermula hari ini, menghimpunkan golongan profesional, terdiri daripada jurubank, peguam, badan kawal selia, cendekiawan Syariah dan ahli akademik bagi membincangkan idea dan isu-isu dalam ekonomi Islam bertaraf dunia. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Syarikat Perlu Diberi Kelonggaran Laksana Perdagangan Patuh Syariah "