• Syabu RM80,000 Disorok Dalam Seluar

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    TAWAU: Taktik seorang lelaki warga Indonesia menyembunyikan dadah jenis syabu seberat kira-kira satu kilogram dianggarkan bernilai RM80,000 dengan menyelitkannya dalam seluar jeans dipakainya, gagal mengaburi pihak berkuasa.

    Suspek berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau yang melakukan rondaan keselamatan menerusi Ops Paradise di perairan berhampiran Pelabuhan Tawau, di sini, petang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tiga anggota PPM yang bertugas dalam operasi itu terserempak dengan bot laju dinaiki tiga lelaki termasuk juragan warga tempatan sebelum ia ditahan untuk pemeriksaan.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor, berkata pemeriksaan ke atas bot dinaiki tiga lelaki berkenaan pada mulanya tidak menemui apa-apa barangan yang menyalahi undang-undang.

    Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut ke atas badan suspek warga Indonesia itu menemui dua bungkus plastik dibalut menggunakan pita pelekat berwarna coklat yang diselit dalam seluar jeans dipakainya.

    "Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan itu mendapati setiap satunya mengandungi empat plastik lutsinar berlainan saiz mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

    "Anggaran berat keseluruhan dadah yang ditemui adalah 1,005 gram anggaran nilai harga pasaran RM80,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini.

    Nor Azizulkifli berkata, polis masih menyiasat kemungkinan suspek yang beralamat di Kampung Indrasabah di sini, mempunyai hubungan dengan sindiket dadah antarabangsa yang cuba menyeludup masuk bahan larangan itu ke daerah ini.

    Katanya, suspek yang positif syabu bersama dua lagi lelaki masing-masing berumur 26 dan 32 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis turut merampas sebuah bot bersama enjin yang dianggarkan bernilai RM24,000. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Syabu RM80,000 Disorok Dalam Seluar "