• Suspek tembakan Las Vegas tiada kaitan kumpulan militan

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+
    Dua pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) berkata, tidak ada bukti bahawa suspek yang membunuh sekurang-kurangnya 50 orang dalam insiden tembakan di Las Vegas terikat dengan mana-mana kumpulan militan antarabangsa.

    Kenyataan tersebut dibuat selepas militan Daesh melalui agensi beritanya, Amaq mendakwa bertanggungjawab ke atas insiden tembakan rambang itu dan turut mengatakan kononnya penyerang itu baharu saja memeluk Islam beberapa bulan lalu.

    Pihak berkuasa AS berkata, pihaknya percaya suspek, Stephen Paddock, 64 tahun yang dilaporkan membunuh diri ketika polis menyerbu bilik hotelnya di Mandalay Bay, mempunyai sejarah masalah psikologi.

    Stephen yang menyeludup masuk senjata ke dalam hotel dan melepaskan tembakan rambang kepada pengunjung konsert dari tingkap bilik hotel di tingkat 32, dikatakan seorang kaki judi tegar.

    Bapanya pula pernah merompak bank dan disenaraikan antara individu paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

    Akauntan bersara berusia 64 tahun itu mempunyai rumah dengan teman wanitanya di lapangan golf di Mesquite, Nevada, 130 kilometer ke timur laut pusat perjudian Amerika Syarikat.

    Dia dikatakan kerap menghantar biskut kepada ibunya yang berusia 90 tahun di Florida.

    Menurut adik lelakinya, Eric Paddock, abangnya tidak menunjukkan sebarang petanda mahu melakukan antara jenayah pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah AS.

    Sementara itu, abang suspek, Eric Paddock mengakui amat terkejut dengan kejadian itu dan memberitahu bahawa keluarganya sudah membuat kenyataan kepada pihak polis.

    Presiden AS, Donald Trump menyifatkan insiden itu sebagai tindakan kejam dan akan membuat lawatan ke Las Vegas dalam tempoh terdekat untuk bertemu keluarga mangsa. - BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Suspek tembakan Las Vegas tiada kaitan kumpulan militan "