• Suspek Kes Dera Anggota TLDM Didakwa Esok

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    "Harap kematian suami saya dapat keadilan sewajarnya," kata Noor Bazlin Mohammad, 28, isteri kepada Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28.

    Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy adalah seorang daripada dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia ketika berada dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan pada 29 September lalu dipercayai akibat didera.

    Dalam kejadian itu, seorang lagi anggota TLDM yang dipercayai didera hingga meninggal dunia adalah Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, dimana hasil bedah siasat kedua-dua mangsa mendapati punca kematian adalah akibat pendarahan dalam paru-paru.

    Noor Bazlin berkata demikian ketika dimaklumkan mengenai suspek kes kematian suaminya yang dijangka didakwa di Mahkamah Seri Manjung esok selepas tamat tempoh reman 14 hari.

    Menurutnya, dia juga berharap pihak yang bertanggungjawab dalam kes kematian suaminya itu akan mendapat pembalasan dan hukuman setimpal.

    "Kejadian itu mengakibatkan anak-anak saya yang masih kecil kehilangan bapa dan jika benar terbukti mereka bersalah (suspek) saya harap mereka menerima hukuman setimpal.

    "Sukar bagi saya memaafkan tindakan yang mereka lakukan jika terbukti mereka bersalah kelak," katanya yang dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, dia kini masih bercuti dan berada di kampungnya di Kelantan.

    "Kami sekeluarga masih bersedih dan merasakan kehilangannya terutama anak-anak saya Nik Adam Mikhail, 4, Nik Aisya Azzahra, 2 dan Nik Anas Naufal, 10 bulan.

    "Anak yang sulung sering bertanyakan mengenai abahnya dan menanggis apabila setiap kali melihat gambar arwah di telefon bimbit.

    Malah pada Jumaat lalu, Nik Adam turut menanggis di kubur arwah ketika kami menziarah dan mengatakan akan datang lagi ke kubur abahnya," katanya.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini memaklumkan suspek kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) berhubung kematian dua anggota TLDM di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan akan didakwa esok.

    "Kes Seksyen 302 KK anggota TLDM, suspek akan dituduh di Mahkamah Seri Manjung esok 13 Oktober jam 9 pagi," katanya dalam kenyataan ringkas itu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini dilaporkan berkata, seramai tujuh suspek membabitkan anggota TLDM yang juga bertugas di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.

    Menurutnya, empat daripada tujuh suspek berkenaan turut direman bagi membantu siasatan kes dua anggota TLDM yang dipercayai didera ketika berada dipusat tahanan sama.

    Reman ketujuh-tujuh suspek itu akan berakhir berperingkat iaitu tiga suspek akan tamat reman esok, dua lagi pada Sabtu dan dua lagi pada Ahad ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Suspek Kes Dera Anggota TLDM Didakwa Esok "