• SUPP Yakin Tanding 7 Kerusi Parlimen

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+

    Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian memberi jaminan bahawa partinya akan bertanding di tujuh buah kerusi parlimen pada Pilihanraya Umum (PRU14) akan datang.

    Memetik laporan The Borneo Post, Dr Sim berkata jaminan itu diberikan oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional di peringkat persekutuan yang mengatakan mereka akan bertanding dalam kesemua tujuh kerusi tradisi yang ditandingi SUPP sebelum ini.

    "Pengerusi BN  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua kerusi tradisi masih kekal," katanya

    Kesemua kerusi berkenaan adalah Parlimen Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri.

    Pada pilihan raya umum yang lepas, SUPP hanya mampu mengekalkan Serian, kehilangan lima kerusi kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan satu kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu (UPP) George Lo berkata jaminan yang diberikan SUPP masih terlalu awal kerana beliau percaya UPP juga mampu memenangi kerusi sekiranya diperuntukkan kepada mereka.

    Menurut Lo, realiti politik kini memerlukan Barisan Nasional meletakkan calon yang benar-benar boleh menang.

    "UPP percaya kali ini BN akan menggunakan formula untuk memilih calon yang pasti boleh menang untuk setiap kawasan. Kami percaya calon-calon yang telah kami senaraikan kepada kepimpinann tertinggi BN adalah calon yang boleh menang.

    "Justeru, kami serahkan kepimpinan BN untuk membuat keputusan akhir mengenai calon yang akan bertanding,"

    Antara kerusi yang menjadi yang menjadi harapan UPP adalah kerusi Parlimen Sibu dan Lanang. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " SUPP Yakin Tanding 7 Kerusi Parlimen "