• Sukan Wadah Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum - Najib

    Published: Saturday, 14 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sukan merupakan wadah terbaik bagi memupuk perpaduan dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum sekali gus memupuk gaya hidup sihat.

    Perdana Menteri berkata menerusi gaya hidup sihat yang diamalkan rakyat di negara ini, masyarakat diharap mampu membina lebih kejayaan pada masa akan datang.

    "Kalau kita nak berjaya, kita mesti sihat. Ada dengar ke orang berjaya yang tidak sihat? Tidak ada...mesti sihat. Sebab itu kita nak bangunkan budaya bersukan dalam negara supaya rakyat Malaysia suka bersukan," katanya ketika merasmikan Hari Sukan Negara 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

    Najib juga berharap Hari Sukan Negara yang dianjurkan bagi tahun ketiga akan menjadi platform untuk memupuk budaya bersukan pada setiap hari dalam kalangan rakyat Malaysia.

    "Tahun pertama saya diberitahu 5.1 juta orang rakyat bersukan dalam Hari Sukan Negara. Tahun kedua...7.6 juta orang. Tahun ini pasti boleh lebih ramai lagi," katanya.

    Perdana Menteri berkata kajian menunjukkan kadar obesiti rakyat Malaysia adalah tertinggi di Asia kerana tabiat suka makan.

    "Kita suka roti canai, suka nasi lemak, suka teh tarik. Kita tidak suka bersukan. Kita mesti bersukan. Jangan banyak lemak di badan.

    "Saya pun mesti kurangkan lemak badan supaya 'slim' seperti Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan), tetapi akan makan masa," katanya.

    Sambutan Hari Sukan Negara diadakan pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober, satu inisiatif ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ?Negara Bersukan'

    Hadir sama pada majlis perasmian adalah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta barisan atlet negara. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sukan Wadah Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum - Najib "