• Suami Pelakon Dibunuh Sepupu

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    SEOUL: Suami pelakon Korea Selatan, Song Sun-Mi, mati di tangan pembunuh diupah sepupu sendiri kerana perbalahan berhubung harta mendiang datuknya yang juga jutawan, kata pendakwa, semalam.

    Mangsa berusia 44 tahun yang cuma dikenali sebagai Koh meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas ditikam di lehernya menggunakan pisau sashimi ketika perjumpaan di sebuah firma guaman di Seoul pada Ogos lalu.

    Pejabat Pendakwa Agung berkata dalam satu kenyataan, pembunuh berkenaan diupah sepupu Koh, lelaki Korea-Jepun bernama Kwak yang disaman Koh dan mendiang datuk mereka kerana didakwa memalsukan dokumen perwarisan.

    “Siasatan menunjukkan pembunuhan itu terancang dan dilaksanakan penjenayah upahan,” katanya.

    Agensi berita Yonhap melaporkan, datuk Koh yang juga warga Korea-Jepun memiliki beberapa hotel utama di Jepun dengan dokumen yang dipalsukan Kwak membolehkannya merampas aset di Seoul bernilai 68 bilion won (RM256 juta).

    Kwak dilaporkan mengupah pembunuh berusia 28 tahun terbabit 2 juta won (RM 7, 500) dan menghantar pesanan teks kepadanya selepas serangan dilaksanakan, mengarahkannya melarikan diri ke Filipina.

    Kwak dan pembunuh itu berkenalan di sebuah sekolah bahasa di Jepun pada 2012 dan tinggal bersama sejak Mei tahun ini.

    Kwak didakwa awal bulan ini dan pendakwa cuma mendedahkan butiran kes itu semalam selepas menambah tuduhan menghasut bunuh terhadapnya.

    Pembunuh terbabit yang tidak didedahkan identitinya ditahan di tempat kejadian.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Suami Pelakon Dibunuh Sepupu "