• Suami Maut Ditikam Isteri Disyaki Kerana Cemburu

    Published: Sunday, 15 October 2017
    A- A+

    MUAR: Perasaan cemburu dan syak wasangka terhadap suami yang tidak pulang ke rumah selama dua hari, dipercayai menjadi punca seorang wanita muda menikam suaminya dengan sebilah pisau di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Muar, ACP Zaharudin Rasip berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang berusia 28 tahun maut selepas disyaki ditikam oleh isterinya yang berumur 17 tahun.

    “Suspek menggunakan pisau pemotong sayur berukuran kira-kira 21 sentimeter setelah kedua-dua mereka dipercayai turut bertelingkah dan berlaku sedikit pergelutan.

    “Ketika polis tiba, mayat mangsa terlentang di ruang tamu rumah berkenaan dan suspek yang turut berada di lokasi telah ditahan serta kita turut merampas pisau tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di sini, hari ini.

    Beliau berkata tempat kejadian merupakan kediaman milik majikan mangsa yang dijadikan stor penyimpanan serta rumah persinggahan pekerja.

    Menurut Zaharudin mangsa bekerja sebagai pembantu kedai menjual ayam di Pasar Maharani manakala suspek tidak bekerja namun ada membantu suaminya di pasar berkenaan.

    “Kedua-dua mereka baharu mendirikan rumah tangga kira-kira lima bulan lepas dan menetap di Parit Bunga, Tangkak,” katanya.

    Beliau berkata polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk motif kejadian, namun tidak menolak kemungkinan berpunca daripada faktor cemburu.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala suspek diperintah reman selama enam hari bermula hari ini.

    Zaharudin berkata, ujian air kencing terhadap suspek juga negatif dadah dan suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Suami Maut Ditikam Isteri Disyaki Kerana Cemburu "