• SPR Dapat Peruntukan Lebih

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    MEMANDANGKAN PRU akan diadakan sebelum Jun tahun hadapan, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang banyak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Bajet 2018 Jumaat lalu.

    Dalam Bajet 2018, SPR memperoleh peruntukan RM370.66 juta berbanding RM48.63 juta dalam bajet 2017, meningkat sebanyak 662.15 peratus!

    Menurut Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Chua Tia Guan, peningkatan peruntukan kepada SPR ini perlu kerana ia dilakukan untuk menghadapi persediaan PRU yang dijangka diadakan sebelum Jun tahun hadapan.

    "Bagaimanapun ini bukan bermakna tahun ini tidak ada PRU. Bajet ini belum dimuktamadkan lagi, kerajaan boleh menambahkan peruntukan pada bila-bila masa," kata Chua kepada China Press.

    Dalam pada itu, mengenai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan yang mendapat peruntukan paling banyak berbanding kementerian lain, kata Chua, langkah ini bertujuan mengatasi masalah kos sara hidup tinggi dialami oleh rakyat.

    "Tanggungjawab mengurangkan tekanan kos hidup rakyat terletak di bahu kementerian ini. Ia perlu mengawal dan melakukan penguatkuasaan agar harga barangan tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya.

    "Selain itu, banyak peruntukan juga perlu disalurkan kepada kementerian ini untuk melakukan penstrukturan semula Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)," katanya. - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " SPR Dapat Peruntukan Lebih "