• SKMM Bertemu Syarikat Telco Berhubung Isu Penjualan Data Pengguna

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    CYBERJAYA:  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi berhubung isu penjualan data pengguna yang disyaki diperoleh dengan cara yang tidak sah.

    Ketua Pegawai Operasi SKMM Dr Mazlan Ismail berkata pertemuan itu dibuat bagi mendapatkan kerjasama daripada semua syarikat tersebut agar mereka mengambil maklum mengenai isu berkenaan.

    "Ini dilakukan agar mereka mereka faham apa yang sedang berlaku sekarang terutamanya apabila pihak polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial datang kepada mereka bagi menjalankan siasatan," katanya selepas Majlis Anugerah Penarafan Bintang 2016 Bagi Penyedia Perkhidmatan Selular Awam di sini hari.

    Menurutnya, aspek keselamatan data peribadi sebenarnya tertakluk di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia manakala SKMM pula mempunyai Kod Amalan Am Pengguna Untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia di mana terdapat peruntukan supaya penyedia perkhidmatan hendaklah menjaga keselamatan data peribadi pelanggan.

    "Semua aspek masih dalam siasatan, jadi kita tidak mahu buat sebarang kesimpulan yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

    Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data peribadi kira-kira 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini.

    Mengenai peruntukan RM1 bilion yang disalurkan melalui SKMM untuk mengembangkan infrastruktur telekomunikasi dan perkhidmatan jalur lebar di Sabah dan Sarawak dalam pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas, Mazlan berkata peruntukan tersebut akan turut melibatkan soal pembangunan sistem keselamatan komunikasi.

    "Servis komunikasi tidak boleh lari daripada aspek keselamatan, mereka mesti bersama dan ciri keselamatan adalah penting bagi mendapatkan kepercayaan pengguna," katanya.

    Pada Majlis Anugerah Penarafan Bintang 2016 itu, Maxis dinobatkan sebagai Penyedia Khidmat Selular Terbaik Bagi 2016" manakala Tune Talk memenangi anugerah "Operator Rangkaian Maya Mudah Alih (MNVO) Terbaik Bagi 2016".

    Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " SKMM Bertemu Syarikat Telco Berhubung Isu Penjualan Data Pengguna "