• Skandal Olimpik: Nuzman Sah Lepas Jawatan

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    RIO DE JANEIRO: Peletakan jawatan Carlos Nuzman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Brazil (BOC) yang ditahan susulan skandal 'membeli undi' membabitkan jumlah AS$2 juta (RM8.45 juta), dibuat secara rasmi, awal pagi tadi.

    Peguam Nuzman membacakan kenyataan itu pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) BOC yang menjelaskan individu berusia 75 tahun berkenaan mengesahkan peletakan jawatan yang diumumkan pada Sabtu lalu.

    Dia ditahan pada Khamis lalu di Rio de Janeiro bagi membantu siasatan tuduhan membeli undi daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi memastikan Rio menjadi tuan rumah Olimpik 2016.

    IOC mengeluarkan satu kenyataan pada Jumaat yang menggantung BOC dan menggugurkan Nuzman daripada senarai ahli kehormatnya serta turut mengeluarkan dia daripada jawatankuasa Olimpik 2020.

    "Dengan keperluan yang mendesak saya untuk fokus dalam mempertahankan diri, saya meletakkan jawatan sepenuhnya sebagai Pengerusi BOC dan juga ahli kehormat badan induk IOC," kata Nuzman dalam suratnya yang dibacakan peguamnya, Sergio Mazillo dalam EGM.

    Nuzman sudah mengeluarkan satu kenyataan dari dalam penjara Jumaat lalu, yang menyatakan dia hendak meletak jawatan.

    Pegawai Brazil menjelaskan Nuzman adalah 'watak penting' dalam merasuah IOC bagi menjadikan Rio sebagai tuan rumah temasya terbesar itu.

    Pihak berkuasa turut menuduh bekas gabenor Rio, Sergio Cabral, sebagai dalang skandal terbabit dan kini menjalani hukuman penjara 14 tahun atas kesalahan rasuah dan penipuan.

    Siasatan mendapati rasuah itu diberikan kepada anak ahli IOC Senegal, Papa Massata Diack dan bekas ketua olahraga dunia, Lamine Diack sebelum pengundian yang berlangsung pada 2009.

    Ahli perniagaan, Arturo Soares dipercayai membuat pembayaran tiga hari sebelum pengundian berlangsung.

    Dalam pengundian itu, Rio menewaskan Chicago, Madrid serta Tokyo untuk menjadi tuan rumah Olimpik 2016. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Skandal Olimpik: Nuzman Sah Lepas Jawatan "