• Sindiket Tipu Menggunakan Nama, Logo LHDN

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendedahkan terdapat sindiket menggunakan nama dan logo agensi berkenaan untuk menipu orang ramai khususnya pembayar cukai.

    Dalam satu kenyataan, LHDN berkata agensi berkenaan mengesan beberapa cubaan untuk menipu orang ramai dengan menghantar e-mel palsu memaklumkan mereka mempunyai amaun cukai terlebih bayar yang perlu dipulangkan oleh LHDN.

    Dalam e-mel palsu berkenaan, penyangak kewangan akan memberikan arahan kepada penerima e-mel agar mendedahkan butiran akaun bank mereka bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dibuat oleh LHDN.

    “Harap maklum bahawa LHDN tidak pernah menghantar e-mel kepada pembayar cukai untuk meminta pembayar cukai mendedahkan nombor akaun bank mereka. Ini kerana maklumat akaun bank tersebut akan diperoleh melalui perisytiharan oleh pembayar cukai ketika mereka mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan pada setiap tahun.

    “Selain itu, lebihan bayaran balik cukai pendapatan yang berjaya diproses berdasarkan maklumat yang betul juga akan dikreditkan terus oleh LHDN ke akaun bank pembayar cukai menerusi pembayaran secara Electronic Fund Transfer (EFT) atau menerusi Baucar Bayaran Balik Cukai (BBBC) atau Cek Berpalang atau Telegraphic Transfer (untuk mereka yang mempunyai akaun di luar negara),” menurut kenyataan itu.

    ​​​​​​​Menurut LHDN, sindiket tersebut juga akan menghantar Surat Tuntutan Cukai Tertunggak yang palsu kepada orang ramai.

    Ia berkata LHDN sememangnya akan mengeluarkan surat peringatan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun cukai tertunggak agar mereka menjelaskan cukai tertunggak tersebut namun demikian penerima surat tersebut perlu memastikan surat tersebut adalah benar-benar tulen daripada LHDN.

    Pengesahan ketulenan surat tunggakan cukai boleh dibuat melalui Talian Hasil Careline di 1-800-88-5436 atau Talian Hasil Recovery Call Centre di 1-800-88-4726 atau nombor talian Cawangan LHDN yang mengeluarkan surat tersebut (ada pada kepala surat).

    Selain itu, LHDN berkata apa-apa bayaran cukai pendapatan juga mesti dibuat atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

    “Sekiranya surat yang diterima memberikan arahan untuk membuat bayaran cukai pendapatan kepada penama selain daripada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, penerima surat itu boleh mengabaikan arahan dalam surat tersebut dan seterusnya membuat aduan kepada LHDN,” menurut kenyataan itu.

    ​​​​​​​Selain itu, LHDN berkata sindiket itu akan menyamar sebagai pegawai LHDN palsu mengunjungi premis pembayar cukai dan memaksa pembayar cukai membayar cukai tertunggak.

    “LHDN tidak mengamalkan kaedah mengunjungi premis pembayar cukai bagi mengutip cukai tertunggak secara tunai.

    “Kunjungan ke premis pembayar cukai jika ada akan dilakukan melalui operasi secara berkala seperti Operasi KUTiP dan kaedah kutipan cukai tertunggak yang dilakukan adalah hanya melalui Cek atau Draf Bank atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia,” menurut kenyataan itu.

    Sehubungan itu, LHDN menyaran pembayar cukai yang dilawati agar memeriksa kad pengenalan diri dan merekodkan butiran pegawai LHDN yang hadir ke premis mereka selain mendapatkan penjelasan mengenai peruntukan undang-undang yang diguna pakai berkaitan dengan lawatan tersebut, merekodkan nama serta nombor perhubungan penyelia yang menyelia pegawai tersebut serta menghubungi talian Hasil Careline di 1-800-88-5436 untuk pengesahan.

    “Orang ramai khususnya pembayar cukai diminta untuk sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan segera daripada LHDN bagi sebarang keraguan yang timbul mengenai perihal cukai pendapatan mereka untuk mengelakkan kerugian kewangan,” katanya.

    Selain daripada menghubungi Hasil Careline, pembayar cukai juga boleh melaporkan aduan kepada e-mel aduan@hasil.gov.my. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sindiket Tipu Menggunakan Nama, Logo LHDN "