• Siasatan SPRM Masih Panjang

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+
    KOTA KINABALU: Siasatan penyelewengan dana awam RM1.5 bilion di Sabah dijangka mengambil masa lebih lama berikutan ramai lagi saksi atau individu bakal dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.

    Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu BH, tiada jangka masa ditetapkan untuk menyelesaikan kes itu kerana proses merakam keterangan daripada saksi masih dilakukan.

    Setakat hari ini, difahamkan seramai 50 saksi sudah dipanggil untuk dirakam keterangan dan dijangka bertambah berdasarkan maklumat terbaharu yang diperoleh agensi berkenaan.

    Pada masa sama, katanya, pasukan teknikal SPRM giat menyiasat projek luar bandar dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara tahun 2009 hingga 2015 bagi mengesan sebarang tanda kegagalan atau penyelewengan.

    Sebelum ini BH melaporkan, sebanyak 350 projek KKLW membabitkan 170 projek bekalan air, jalan raya (163 projek) dan bekalan elektrik (17) di sembilan daerah di Sabah membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM7.5 bilion dipantau SPRM.

    Satu daripada projek yang dikenal pasti ialah pembinaan sebuah loji air bernilai RM45 juta di Sungai Intan, Semporna yang tidak dapat berfungsi disebabkan sungai cetek yang mengakibatkan sumber air tidak mencukupi.

    Sehingga kini lapan orang ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

    Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony dan seorang ahli perniagaan berumur 52 tahun yang ditahan untuk membantu siasatan sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM, Jumaat dan Sabtu lalu.

    Tiga individu iaitu Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dijangka dibebaskan esok selepas tempoh sambungan reman selama tiga hari sejak semalam berakhir, untuk membantu siasatan itu.

    Turut dijangka dibebaskan ialah bekas timbalan setiausaha bahagian KKLW yang ditahan di Putrajaya pada 6 Oktober lalu selepas tempoh sambungan reman enam hari berakhir esok.

    Setakat ini, dua masih ditahan reman bagi membantu siasatan itu ialah adik Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Hamid Apdal dan menantunya yang juga seorang ahli perniagaan berumur 33 tahun. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Siasatan SPRM Masih Panjang "