• Setiausaha politik menteri dibebas dengan jaminan

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Setiausaha politik kepada menteri yang direman sejak 28 September lalu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan, dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Majistret Aina Sherina Saipolamin membenarkan jaminan berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin itu di Mahkamah Majistret, di sini.

    Lelaki bergelar Datuk berusia 61 tahun itu adalah individu kelima yang ditahan berhubung kes seleweng dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bernilai RM40 juta.

    Sebelum itu, empat individu berusia 32 tahun hingga 58 tahun, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif bergelar Datuk ditahan berhubung kes sama, pada 13 September lalu.

    Tiga pegawai PTPK dan seorang pengarah syarikat itu ditahan selepas disyaki terbabit menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng wang peruntukan program latihan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

    Berdasarkan maklumat, keempat-empat mereka dipercayai menyeleweng hampir RM40 juta pada tahun 2016 dan 2017.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM35 juta dan RM40 juta pada tahun ini untuk mengendalikan program latihan berkenaan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Setiausaha politik menteri dibebas dengan jaminan "