• 'Setan' Tertangkap Jua!

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+

    KEPALA BATAS: Geng Highway yang menjalankan kegiatan samun pecah kereta sekitar Hentian Rehat & Rawat (R&R) Sungai Dua tumpas berikutan tertangkapnya tiga anggota kumpulan pada 9 Oktober lalu.

    Tiga anggota geng ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU) diketuai Asisten Superintendan Mohd Yusoff Ibrahim dalam Op Cantas di kawasan Sungai Lokan jam 12.10 tengah hari.

    Difahamkan, tiga yang ditahan termasuk dalang utama geng dikenali dengan gelaran Setan.

    Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, modus operandi digunakan suspek ialah menghampiri kereta mangsa yang diletakkan di R&R sebelum memecahkan cermin kiri menggunakan palam pencucuh diubahsuai dan melarikan barang berharga.

    Katanya, suspek berusia antara 24 hingga 28 tahun menjalankan kegiatan jenayah itu sejak Mac lalu mengakibatkan kerugian RM50,000.

    “Berikutan penahanan tiga suspek berkenaan, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes samun pecah kereta sekitar SPU.

    “Polis kini memburu seorang lagi ahli geng berusia 20-an yang bebas dan berasal dari Sungai Dua,” katanya

    Menurut Noorzainy, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, mencuri dan pecah rumah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan dan polis turut merampas beberapa alat pecah kereta dan penutup muka,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Setan' Tertangkap Jua! "