• Senarai Skuad Hoki Wanita Jadi Tanda Tanya

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara tetap menjanjikan kesebelasan yang mantap bagi Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, 28 Oktober hingga 5 November, biarpun terpaksa melupakan khidmat dua senjata utama Noor Hasliza Ali dan Fazilla Sylvester Silin.

    Bagaimanapun, pengurus skuad Malaysian Tigress, Lailin Abu Hassan enggan mendedahkan barisan 18 pemain yang akan dibawa sebaliknya memberi bayangan ia hampir sama seperti skuad emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

    "Tunggu Khamis ini," kata Lailin ketika dihubungi, sebentar tadi. "Tetapi ia hampir sama dengan pasukan yang beraksi di Sukan SEA.

    "Cuma mungkin kita hanya akan bawa satu atau dua pemain baru bagi menggantikan dua tempat kosong ditinggalkan Hasliza dan Fazilla."

    Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam kenyataannya hari ini mengesahkan pihaknya akan mengadakan satu sesi sidang media bagi mengumumkan barisan 18 pemain ke Jepun, Khamis ini.

    Berdasarkan pemerhatian pada sesi latihan pasukan ranking ke-22 dunia itu, kemungkinan besar tempat Hasliza, 28, yang sedang hamil bakal digantikan oleh pemain yang baru kembali daripada persaraan, Siti Shahida Saad.

    Bagi posisi Fazilla di bahagian serangan pula, ia menjadi rebutan hangat antara Nur Zafirah Aziz serta dua penyerang berusia 16 tahun, Nur Maizatulhanim Syafi Sheikh Fuad dan Siti Nur Arfah Mohd Nor.

    Situasi itu jelas terbukti apabila Lailin, 47, yang juga penolong jurulatih skuad negara tanpa berselindung mengakui ketua jurulatih, Dhaarma Raj Abdullah kini terpikat dengan prestasi beberapa pemain muda.

    "Daripada dua kekosongan itu, satu slot sudah kita putuskan...cuma tinggal satu slot bagi posisi Fazilla menjadi rebutan dengan beberapa pemain muda berjaya menarik perhatian kami.

    "Kita tunggu Dhaarma umum pada Khamis ini," katanya yang pernah beraksi di dua pentas Sukan Olimpik iaitu Barcelona 1992 dan Atlanta 1996.

    Di Jepun nanti, Malaysia yang bakal berdepan laluan berliku untuk muncul juara bagi melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, diundi dalam Kumpulan A bersama China, India dan Singapura. - BHOnline

    Foto Owee Ah Chun

    Subjects:

  • No Comment to " Senarai Skuad Hoki Wanita Jadi Tanda Tanya "