• Semangat Pelajar OKU

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Pelajar kelainan upaya (OKU) Maktab Sultan Abu Bakar, Aidit Iskandar Samsir, 15, ingin membuktikan kekurangan diri tidak menjadi penghalang untuk menduduki Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

    Aidit Iskandar, berkata meskipun mengalami masalah penglihatan sejak lahir, beliau tetap tidak akan berputus asa untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

    Katanya, subjek sukar seperti Matematik memerlukannya untuk lebih fokus dan latihan banyak supaya sasaran bagi memperoleh keputusan cemerlang dapat dicapai.

    "Persiapan sudah mula dijalankan sejak Jun lalu, ada gerak gempur dan ada jadual anjal. Cuma yang bezanya berikutan fizikal kami tidak seperti pelajar normal yang lain, kami menggunakan tulisan Braille.

    "Saya rasa berdebar bagi menghadapi peperiksaan, namun yakin berkat doa ibu bapa dan guru, selain kerajinan mengulang kaji pelajaran akan membantu saya menjawab soalan dengan mudah," katanya yang bercita-cita menjadi seorang pendidik.

    Sementara itu, Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif, berkata seramai 50,004 pelajar menduduki Ujian Bertulis PT3 di 284 pusat peperiksaan yang dibuka seluruh Johor.

    Katanya, daripada jumlah itu, 16 orang adalah calon persendirian. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Semangat Pelajar OKU "