• Semakin Ramai Generasi Belia Kini Bekerja Bebas

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Semakin ramai generasi belia kini bekerja secara bebas disebabkan fleksibilitinya yang ditawarkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif INTI International University and Colleges Timothy Bulow.

    Beliau berkata ekonomi bekerja secara bebas ini telah memperluas prospek pekerjaan melangkaui pekerjaan secara tradisional.

    “Berdasarkan semakin ramai profesional muda yang memilih untuk bekerja secara bebas, tanpa bekerja sepenuh masa, impak perubahan ini harus diberi pertimbangan yang serius jika kita mahu memanfaatkan bakat ini dalam memajukan ekonomi Malaysia,” katanya pada perbincangan panel susulan pembentangan hasil tinjauan yang dijalankan INTI mengenai ‘Realiti Ekonomi Pekerjaaqn Bebas’ di sini hari ini.

    Tinjauan yang dijalankan pada September dan Oktober 2017 itu mengumpulkan maklum balas daripada 300 pekerja secara bebas sepenuh masa yang berusia antara 21 dan 35, yang terlibat dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan, pemasaran, teknologi maklumat dan sains komputer, serta seni dan reka bentuk.

    Namun, sungguhpun populari bekerja secara bebas ini semakin berkembang, tinjauan itu mendapati kemapanan kewangan jangka panjang merupakan antara perkara yang sangat dibimbangi bagi golongan ini, dengan 66 peratus responden tidak mempunyai rancangan persaraan, manakala 33 peratus tidak mempunyai pelan simpanan peribadi.

    Timbalan Pengurus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi Jabatan Pengurusan Strategik, Wong Theen Chuan, berkata Malaysia tidak mempunyai infrastruktur formal untuk melindungi pekerja bebas semasa krisis ekonomi.

    “Berdasarkan statistik KWSP, 62 peratus daripada penduduk dewasa bekerja di negera ini terdiri daripada kalangan mereka yang bekerja sendiri dan bekerja secara bebas. Apa yang mereka boleh lakukan ialah membuat sumbangan sukarela kepada skim persaraan swasta memandangkan tidak ada saluran lain (tersedia) untuk mereka menabung.

    “Kerajaan wajar meneliti isu ini bagi melindungi mereka sekiranya berlaku krisis kewangan dan mereka hilang pekerjaan,” katanya.

    Wong berkata Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, yang bertujuan menyediakan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pemandu teksi yang bekerja sendiri dan penyedia perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Uber dan GrabCar, akan dilanjutkan kepada sektor lain. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Semakin Ramai Generasi Belia Kini Bekerja Bebas "