• Seleweng Dana Di Sabah: Seorang Pemimpin Parti Politik Dibebaskan

    Published: Friday, 13 October 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU -- Seorang pemimpin parti politik Sabah yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana RM180 juta berkaitan projek luar bandar di negeri ini dibebaskan hari ini.

    Lelaki berusia 46 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan ikat jamin RM50,000 tanpa deposit dengan dua orang penjamin di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus.

    Prosiding itu dijalankan di sebuah hospital swasta, di sini dan SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin.

    Sebelum ini, individu berkenaan ditahan reman selama lima hari sejak Jumaat lepas, dan kemudiannya remannya disambung semula tiga hari mulai Selasa lalu, sebelum dimasukkan ke Hospital KPJ Damai disebabkan kekurangan air dalam badan serta tekanan darah tinggi.

    Lelaki berkenaan antara tujuh individu yang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar sejumlah RM180 juta iaitu sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diselewengkan dalam sebuah kementerian.

    Dana RM1.5 bilion itu adalah sebahagian peruntukan kerajaan pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2015.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Seleweng Dana Di Sabah: Seorang Pemimpin Parti Politik Dibebaskan "