• Selepas 5 Bulan Bertempur, Perang Marawi Tamat

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    MARAWI: Selepas lima bulan bertempur dalam peperangan bandar yang sengit, Filipina semalam mengumumkan operasi ketenteraan di Marawi yang ditawan militan Daish akhirnya tamat.

    Tentera menamatkan pertempuran selepas berjaya menawan beberapa bangunan yang menjadi kubu terakhir militan yang enggan menyerah diri.

    40 mayat dan dua wanita dipercayai isteri anggota militan ditemui di dalam sebuah masjid dan dua bangunan berhampiran.

    Jurucakap Presiden Rodrigo Duterte, Ernesto Abella berkata, Filipina berjaya mematahkan ancaman paling serius pelampau ganas dan radikal di negara itu serta di Asia Tenggara.

    Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menghancurkan infrastruktur kumpulan pengganas.

    “Tentera berjaya mematahkan cubaan paling serius untuk membawa fahaman pelampau ganas dan radikal ke Filipina dan di wilayah ini.

    “Kita sama-sama menyumbang untuk menghalang fahaman ini tersebar di Asia,” kata Lorenzana ketika pertemuan dengan menteri pertahanan serantau di Clark semalam.

    Serangan terhadap Marawi mengejutkan tentera yang kurang pengalaman dalam pertempuran di bandar dan mencetuskan kebimbangan kemungkinan sokongan terhadap Daish semakin meningkat dalam kalangan penduduk.

    Kumpulan itu juga dipercayai mahu menjadikan Mindanao sebagai pangkalan mereka untuk operasi di Asia Tenggara.

    Daish juga bekerjasama dengan pemberontak tempatan dan kemampuan merekrut pejuang muda termasuk dari luar negara serta berjaya memperoleh simpanan senjata yang besar dan bertahan serangan udara dan darat selama 154 hari.

    Seramai 920 militan, 165 tentera dan polis serta 45 orang awam terbunuh dalam konflik itu yang turut menyebabkan lebih 300,000 penduduk menjadi pelarian.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Selepas 5 Bulan Bertempur, Perang Marawi Tamat "