• Selamat Tinggal Raja Tersayang

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    BANGKOK: Sami Brahmin, tukang gendang dan askar berpakaian seragam mengetuai perarakan menerusi kawasan bersejarah Bangkok, semalam, untuk rakyat Thailand mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin kesayangan mereka, Raja Bhumibol Adulyadej.

    Kira-kira 300,000 orang berpakaian serba hitam memenuhi jalan raya sambil menangis dan sujud hormat ketika pedati emas membawa bekas abu diraja berarak dalam cuaca panas terik.

    Menara emas bernilai $90 juta (RM381 juta) di lokasi pembakaran yang dibina khas untuk majlis itu berkilau dalam pada anak Bhumibol, Raja Maha Vajiralongkorn menyertai sami Buddha untuk upacara berkenaan.

    Vajiralongkorn menyalakan unggun api emas pada jam 10 malam (waktu tempatan) dengan majlis dihadiri orang paling berkuasa di Thailand termasuk dari kalangan keluarga diraja serta tentera.

    Ia peluang terakhir rakyat mengucapkan selamat tinggal kepada raja digelar ‘bapa negara’ yang ditabalkan pada 1950 dan memerintah selama beberapa dekad sehingga kematiannya Oktober tahun lalu, pada usia 88 tahun.

    Wacharadej Tangboonlabkun, 65, berkata: “Dia begitu sempurna. Dia membangkitkan negara ini dan rakyatnya. Tujuh puluh juta rakyat Thailand bersatu kerana cintakan dia.”

    Vajiralongkorn akan ditabalkan selepas upacara penuh untuk ayahnya selesai pada 30 Oktober ini yang turut menjadi tarikh akhir berkabung. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Selamat Tinggal Raja Tersayang "