• Sekolah Berbeza Cetus Masalah Kaum - Khairy

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Masalah perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia disifatkan antara isu paling mencabar yang perlu diselesaikan menjelang 2050.

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata masalah perpaduan ketika ini, antara lain berpunca daripada sistem persekolahan yang berbeza-beza, mengakibatkan kanak-kanak membesar dalam suasana berasingan.

    "Ini sesuatu yang saya tak pasti kita mampu selesaikan dalam TN50 (Transformasi Nasional 50). Saya berhasrat untuk selesaikannya dalam tempoh 30 tahun akan datang, tetapi ia sangat susah kerana anak-anak kita pergi ke sekolah yang berbeza.

    "Kita ada sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, tahfiz, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta. Namun hasilnya anak-anak kita membesar secara berasingan.

    "(Sistem sekolah berasingan) itu sesuatu yang kita bersetuju, tetapi ia juga sebahagian daripada masalah hari ini. Saya tak tahu sama ada ia boleh diubah kerana ini perjanjian sejak dulu," katanya ketika berucap pada Dialog TN50x: Eksekutif Muda Touch 'n Go: Peneraju Negara Tanpa Tunai, di sini, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TN50, R Effendi Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Touch 'n Go Sdn Bhd (TNGSB), Syahrunizam Samsudin.

    Khairy berkata, rakyat Malaysia sepatutnya meraikan kepelbagaian kaum di negara ini, namun sebaliknya ia kini menjadi liabiliti serta senjata untuk menyerang antara satu sama lain.

    "Apabila di luar negara, kita maklumkan yang Malaysia ialah negara berbilang kaum, etnik dan agama, namun kembali ke negara ini, ia (kepelbagaian) menjadi liabiliti pula.

    "Jadi, bagaimana untuk jadikan kepelbagaian ini sebagai aset serta meraikannya kerana saya yakin ini perkara paling penting yang mendefinisikan kita sebagai rakyat Malaysia.

    "Apabila 31 Ogos atau kita menang sesuatu kejohanan sukan, kita meraikannya. Namun, perlu difikirkan bagaimana untuk meraikannya setiap hari. Adakah hanya apabila ada kemenangan dalam bidang sukan baru kita nak berbangga sebagai rakyat Malaysia,? katanya.

    Lebih 50 kakitangan TNGSB hadir pada dialog itu bagi menyampaikan aspirasi TN50 masing-masing, antaranya membabitkan visi bagi menjadikan Malaysia sebagai negara bebas tunai.

    Selain itu, TNGSB turut melancarkan kad Touch 'n Go baharu yang direka bentu bertemakan TN50, hasil kerjasama syarikat itu dengan Kementerian Belia dan Sukan.

    Kad itu boleh didapati di hab Touch 'n Go di Bangsar South, NU Sentral-KL Sentral dan Wisma Nufri, Johor Bahru, selain melalui pesanan atas talian menerusi Lazada.com bermula bulan depan pada harga RM15. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sekolah Berbeza Cetus Masalah Kaum - Khairy "