• 'Saya Lega Tiada Babi Mati'

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    Kira-kira 20 ekor babi berkeliaran di atas lebuh raya selepas sebuah lori membawa haiwan itu terbabit kemalangan dengan sebuah kereta Proton Gen2 di Kilometer 198, Lebuhraya PLUS arah utara, Alor Gajah, hari ini.

    Dalam kejadian 7.30 pagi, lori membawa muatan babi itu dilanggar Proton Gen2 dari belakang menyebabkan kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan.

    Pemandu lori terbabit, Tee Yu Peng, 58, berkata, dia bersama isteri, Tan Bee Chin, 55, dalam perjalanan dari Kahang, Kluang, Johor untuk menghantar babi ke Rawang, Selangor.

    "Saya memandu di lorong paling kiri. Saya pandu perlahan 70 kilometer sejam sebelum tiba-tiba lori bergegar seakan sesuatu menyondol dari belakang hinggakan terbabas dan melanggar besi penghadang kiri jalan dan masuk ke dalam longkang.

    "Apabila masuk ke dalam longkang, saya pusing stereng ke kanan dan ketika itu, Proton Gen2 terbabit menghimpit ke arah saya menyebabkan lori saya dan kereta itu terbabas ke lereng bukit di bahu jalan dan lori saya terbalik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Menurutnya, akibat kemalangan itu, dia mengalami kesakitan pada bahu manakala isterinya cedera di kepala.

    "Saya lihat dua lelaki dan seorang perempuan dalam kereta Proton Gen2 dan seorang daripadanya berdarah di kepala.

    "Mereka menaiki ambulans untuk menerima rawatan manakala isteri saya enggan ke hospital kerana tidak parah," katanya.

    Tee berkata, walaupun kemalangan itu mengerikan buatnya dan isteri namun dia lega kerana tiada babi yang mati.

    Katanya, haiwan terbabit dimasukkan ke lori lain untuk dihantar ke Rawang pada jam 10.30 pagi.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Saya Lega Tiada Babi Mati' "