• “Saya Juga Jadi Mangsa Buli Siber” – Rosmah

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berkata beliau juga menjadi mangsa berita palsu dan buli siber.

    Dalam ucapannya pada seminar “Selamatkan Kami Wanita dan Kanak-kanak #CyberSafe” hari ini, beliau menggesa orang ramai supaya tidak tertipu oleh akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya.

    “Saya tidak tahu bagaimana menggunakan Internet … Jika anda melihat laman Facebook ‘saya’, ia sebenarnya bukanlah milik saya.

    “Saya tidak tahu siapa yang mempunyai banyak masa untuk membuat akaun Facebook untuk saya.

    “Saya tidak mempunyai Facebook, jadi jangan tertipu … Itu bukanlah saya, kamu semua telah ditipu,” katanya, menceritakan pengalaman peribadi beliau mengenai pengaruh berita palsu dan buli siber (cyberbullying).

    Rosmah menegaskan bahawa masyarakat tidak sepatutnya mempercayai “kenyataan lucu” yang didakwa diperkatakan olehnya di Internet.

    Mengenai pembulian siber, Rosmah memceritakan bahawa seseorang pernah meminta pendapatnya tentang bagaimana beliau dapat kekal tenang walaupun semua berita palsu itu tersebar setiap hari.

    “Saya tidak memiliki telefon pintar, saya masih menggunakan telefon lama yang ‘antik’ berjenama Samsung.

    “Pada saya, ini adalah kebahagiaan kerana saya tidak tahu bagaimana untuk menggunakan teknologi canggih.

    “Saya fikir ia adalah satu rahmat tersembunyi kerana semua cerita palsu tentang saya … Saya tidak tahu-menahu. Oleh itu, saya tidak emosional atau berasa tertekan tentangnya,” katanya.

    Seminar jenayah hari ini dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia.

    Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk P. Kamalanathan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Presiden NCWO, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Sharifah Hapsah. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " “Saya Juga Jadi Mangsa Buli Siber” – Rosmah "