• "Saya Cuma Mahu Balik Kampung, Tiada Kontroversi, Tiada Misteri", CEO MAS Jawab Tuduhan Mahathir

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Malaysia Airlines (MAS) Peter Bellew menafikan seluruh dakwaan ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman blog chedet.cc kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi punca beliau melepaskan jawatan.

    Kata Bellew, Najib tidak pernah mencampuri urusan MAS apatah lagi menjadi penyebab kepada beliau melepaskan jawatan sebagai GCEO MAS, justeru dakwaan di blog Dr Mahathir berkaitan MAS adalah 100 peratus tidak benar

    "Saya cuma nak balik kampung untuk bersama orang yang saya sayang ....its simple...tidak ada kontroversi atau misteri," ujar Peter dipetik Agenda Daily.

    Bellew berkata demikian dalam sidang media inisiatifnya sendiri menerangkan punca beliau melepaskan jawatan nombor satu syarikat penerbangan negara disamping menjawab tuduhan melibatkan dirinya dan MAS.

    Antara tuduhan dilemparkan Dr Mahathir terhadap Bellew adalah berhubung pembelian pesawat Boeing yang dinyatakan Najib semasa pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House, baru-baru ini.

    "Tak usahlah nak bohong. Bellew berhenti kerana Najib campur tangan dalam urusan MAS tanpa rujuk kepada Pengarah dan Pengurus Syarikat.

    "Pesawat yang Najib nak beli, bukanlah pesawat yang diperlukan oleh MAS untuk penerbangan ke destinasi tertentu," tulis Dr Mahathir menerusi posting 'SNIPPETS – PILIHANRAYA, ESTET INDUSTRI & CEO MAS' pada 20 Oktober lepas.

    Jelas Bellew, sepanjang karier beliau, tiada siapa yang boleh mengarahkannya melakukan sesuatu tanpa kerelaannya.

    "Hanya isteri saya sahaja boleh arah saya," ujarnya berseloroh.

    Kata Bellew, beliau kecewa tidak dapat memenuhi kontrak perkhidmatan dengan Khazanah kerana ingin meneruskan khidmat di negara kelahirannya sendiri Ireland, dan syarikat penerbangan negara beliau, Ryanair.

    “Saya terpaksa membuat keputusan ini walaupun sukar. Keputusan saya tidak ada kaitan dengan sesiapa sahaja di Putrajaya,” katanya.

    Bellew kini masih bercuti sementara menanti perletakan jawatannya berkuatkuasa 1 Disember dan digantikan dengan Kapten Izham Ismail yang akan bertindak sebagai CEO MAS secara rasmi pada hari berkenaan. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " "Saya Cuma Mahu Balik Kampung, Tiada Kontroversi, Tiada Misteri", CEO MAS Jawab Tuduhan Mahathir "