• Saudi Arabian Airlines 'Terbang' Semula Ke Baghdad

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    RIYADH: Syarikat penerbangan milik penuh kerajaan, Saudi Arabian Airlines (Saudia) akan mengadakan penerbangan pertama ke Baghdad dalam tempoh 27 tahun, hari ini, di sebalik ketegangan hubungan antara beberapa negara di rantau Arab.

    Pesawat Saudia itu akan berlepas dari Jeddah dalam tempoh kurang dua minggu selepas syarikat penerbangan bajet Arab Saudi, Flynas membuat penerbangan komersial pertama dari Riyadh ke Baghdad sejak 1990.

    "Saudi Arabian Airlines akan memulakan penerbangan tetap antara negara ini dan Iraq selepas ia dihentikan selama 27 tahun.

    "Penerbangan semula ini adalah sejajar dengan perkembangan hubungan baik antara kedua-dua negara," kata jurucakap Agensi Berita Saudi (SPA), semalam.

    Penerbangan antara Iraq dan Arab Saudi digantung pada Ogos 1990 berikutan tindakan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein mengarahkan tenteranya menyerang Kuwait.

    Bagaimanapun, ketegangan hubungan antara Kerajaan Arab Saudi dan Iraq berubah dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

    Awal bulan ini, Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi dan Raja Arab Saudi, Raja Salman menghadiri mesyuarat majlis penyelarasan Arab Saudi-Iraq, yang bertujuan meningkatkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

    Iraq berharap hubungan baik dengan Riyadh akan membantu meningkatkan ekonomi negara itu, selepas kedua-dua negara terjejas berikutan kemerosotan harga minyak dunia.

    Sementara itu, Arab Saudi pula mengharapkan langkah itu mampu mengurangkan pengaruh Iran di Iraq. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Saudi Arabian Airlines 'Terbang' Semula Ke Baghdad "