• Sarawak Tingkatkan Usaha Tangani Jangkitan HIV

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    KUCHING - Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, dan Pembangunan Keluarga Sarawak akan meningkatkan kerjasama dengan agensi berkaitan serta badan bukan kerajaan bagi menangani jangkitan HIV dalam kalangan rakyat negeri itu.

    Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pihaknya perlu mencari pendekatan baharu dalam menangani isu tersebut yang kekal sebagai satu cabaran.

    Bagi menangani isu ini, amat penting untuk semua agensi berkaitan bekerjasama bagi mewujudkan satu pendekatan menyeluruh untuk mencegah serta menggalakkan saringan dan rawatan dalam kalangan rakyat, katanya.

    Beliau berkata demikian semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Pengarah Serantau Program Bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai HIV/AIDS Eamon Murphy di Bangkok, Thailand.

    Teks kenyataan Fatimah dihantar kepada Bernama di sini hari ini.

    Fatimah turut menekankan akan pentingnya pendekatan pragmatik dalam menangani isu itu selain mengurangkan stigma terhadap penghidap HIV.- BERNAMA
  • No Comment to " Sarawak Tingkatkan Usaha Tangani Jangkitan HIV "