• Sarawak pantau projek lewat, terbengkalai

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    KUCHING: Kerajaan Sarawak memandang serius isu kelewatan beberapa projek pembangunan terutama membabitkan kemudahan asas dan infrastruktur pendidikan di luar bandar.

    Ia termasuk pembinaan sekolah baharu bagi menampung keperluan 12 guru dan 26 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku di Lingga, Sri Aman yang sehingga kini gagal disiapkan.

    Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri - Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali meminta tindakan segera diambil agensi berkaitan bagi memastikan tidak berlaku lagi kelewatan sehingga menjejaskan keperluan rakyat.

    "Kerajaan Sarawak tidak akan menggangu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kelewatan projek itu. Jika benar isu itu berhubung kait dengan rasuah, terpulang kepada suruhanjaya terbabit untuk menyiasatnya," katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

    Ia sebagai mengulas pendedahan akhbar ini sejak Isnin lalu mengenai kegagalan kontraktor dilantik menyiapkan kerja pembinaan sekolah baharu itu walaupun selepas dua kali tarikh akhir diberikan kepada mereka, masing-masing pada Januari dan Julai lalu.

    Difahamkan, SPRM sudah menghubungi beberapa pihak berkaitan, termasuk subkontraktor dilantik oleh kontraktor utama bagi mendapatkan maklumat untuk membantu proses siasatan.

    Isu kelewatan projek SK Pulau Seduku menarik tumpuan umum selepas rakaman visual murid sekolah berkenaan 'bersabung nyawa' meredah ribut, termasuk ombak besar Sungai Batang Lupar dari Pekan Lingga, Sri Aman untuk kembali ke sekolah mereka, di laman sosial hujung minggu lalu.

    Malah, ia rutin kehidupan 12 guru dan 26 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 sekolah itu hampir setiap hujung minggu, selain turut berdepan ancaman buaya.

    Mereka satu-satunya penduduk kampung di Pulau Seduku selepas penduduk lain dipindahkan ke penempatan baharu di Pekan Lingga pada 2012 apabila kawasan itu digazetkan sebagai santuari buaya.

    Pada 2015, Kementerian Pendidikan meluluskan pembinaan sekolah baharu dalam Rancangan Malaysia Ke-10, menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dengan kos RM8.2 juta bagi menampung keperluan guru dan murid SK Pulau Seduku.

    Bagaimanapun, projek tertangguh dua tahun disebabkan karenah kontraktor utama, selain dua kali diberikan tarikh akhir untuk disiapkan, masing-masing Januari dan Julai lalu, namun masih gagal disiapkan.

    Sharifah Hasidah berkata, terpulang kepada individu sekiranya mahu melaporkan kepada SPRM berhubung kes penyelewengan, salah guna kuasa mahupun rasuah, terutama yang boleh menganggu kelancaran sesuatu projek pembangunan.

    "Itu bidang kuasa mereka (SPRM) untuk menjalankan siasatan sekiranya ada asas kukuh berlaku penyelewengan atau rasuah. Kita (kerajaan negeri) sama sekali tidak akan mencampuri urusan itu, apa lagi menganggu siasatan," katanya.

    Beliau turut menjelaskan projek sekolah baharu itu bukan di bawah seliaan kerajaan negeri, sebaliknya dilaksanakan Kerajaan Persekutuan yang dipantau Pejabat Pembangunan Sarawak (SDO).

    "Seperti dimaklumkan Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof), projek berkenaan sedang cuba disiapkan pihak kontraktor dalam tempoh satu atau dua bulan ini. Jadi, kita akan sama-sama pantau dan berharap ia dapat disiapkan segera kerana komuniti di sana sudah terlalu lama berharap dan menunggu," katanya.

    Menurut Sharifah Hasidah, mana-mana projek di bawah seliaan kerajaan negeri, jika berlaku kelewatan atau 'projek tenat', mesyuarat khas akan diadakan, termasuk melawat tapak projek bersama-sama agensi pemantau bagi mengenal pasti punca, selain merangka pelan tindakan berkaitan.

    "Di Sarawak, penyelarasan setiap projek pembangunan kerajaan negeri dipantau rapi bagi mengelak timbul isu kelewatan. Tindakan segera pasti diambil, termasuk menilai prestasi kontraktor dan laporan kewangan," katanya.-BHOnline
  • No Comment to " Sarawak pantau projek lewat, terbengkalai "