• Sarawak Belum Diisytiharkan Bebas Wabak Rabies

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+


    KUCHING: Negeri Sarawak belum dapat diisytiharkan bebas wabak rabies meskipun tiada kes baharu dilaporkan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, untuk bebas daripada rabies menjelang 2020, Sarawak perlu memastikan tiada kes baharu atau penularan virus sepanjang tempoh dua tahun.

    “Kita tidak pasti sama ada kita dapat mencapai ini tetapi kita telah mengambil langkah pencegahan yang sebaiknya sejak kes pertama dilaporkan berlaku di negeri ini pada Jun lepas,” katanya pada program randau bersama pemimpin masyarakat sempena Hari Rabies Sedunia 2017 di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

    Menurutnya lagi, rabies membunuh hampir 60,000 orang setahun dengan lebih 95 peratus kes adalah akibat gigitan anjing.

    Jelas Dr. Sim, Sarawak adalah bebas daripada rabies sehinggalah tiga kes dikenal pasti Jabatan Kesihatan Negeri pada 30 Jun lepas.

    Sehingga 29 September ini katanya, enam kes rabies disahkan dengan lima kematian telah dilaporkan dan 24 lokasi di tiga bahagian, Serian, Kuching dan Sri Aman diisytiharkan sebagai kawasan dijangkit rabies.

    Beliau memberitahu bahawa rabies adalah 100 peratus boleh dicegah jika tiada gigitan berlaku ke atas manusia oleh anjing atau kucing atau haiwan berdarah panas yang dijangkiti virus ini.

    “Tetapi jika berlaku gigitan, basuh luka dengan sabun dan air serta-merta dan berjumpa doktor dengan segera untuk menerima rawatan yang diperlukan,” katanya.

    Dimaklumkan, kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar wang bagi program pemvaksinan anjing dan kucing di kawasan terjejas.

    Secara kumulatif, sebanyak 30, 000 lebih ekor anjing dan 8,000 lebih ekor kucing telah divaksin oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.

    “Meskipun tiada kes baharu, namun kita beranggapan bahawa semua anjing dan kucing berkemungkinan besar pembawa virus rabies,”ujarnya.

    Beliau meminta kerjasama daripada semua pihak agar memastikan anjing dan kucing masing-masing menerima suntikan vaksin dan dapatkan rawatan segera jika berlaku gigitan. – Sarawakiana


  • No Comment to " Sarawak Belum Diisytiharkan Bebas Wabak Rabies "